Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengurangkan pemotongan mata yang dikenakan ke atas pasukan T-Team dan Perlis daripada enam mata kepada tiga mata dalam saingan Liga Malaysia dan membatalkan larangan pemindahan pemain terhadap dua pasukan itu.

FMLLP dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pasukan T-Team, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengemukakan rayuan mereka kepada FMLLP terhadap pemotongan enam mata dalam saingan Liga-M dan larangan perpindahan pemain semasa jendela kedua.

T-Team merupakan pasukan dari Liga Super manakala Perlis dan ATM dari Liga Perdana.

Surat FMLLP bertarikh 2 Mei lepas menyatakan pasukan yang tidak mengemukakan dokumen sebelum 15 Mei akan dikenakan penggantungan perpindahan pemain pada jendela kedua.

"Pasukan T-Team dan Perlis telah mengemukakan dokumen seperti yang dikehendaki sebelum tarikh yang ditetapkan. Bagaimanapun, kedua-dua pasukan tersebut tidak memenuhi tarikh tutup lanjutan pada 31 Mac untuk menghantar dokumen, jadi pasukan akan dikenakan denda.

"Tetapi disebabkan inisiatif mereka untuk menyelesaikan dokumen yang tertangguh, pemotongan mata dikurangkan kepada tiga mata," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan oleh unit media FMLLP.

Sementara itu, rayuan pasukan ATM masih dalam pertimbangan kerana FMLLP perlu melakukan penyiasatan lanjut sebelum keputusan akhir dibuat dalam masa terdekat.

Sebelum ini sebanyak empat pasukan Liga-M, T-Team, Kelantan, Perlis dan ATM dikenakan hukuman potong enam mata selepas gagal melunaskan tunggakan gaji pemain serta menerima hukuman larangan perpindahan pemain, boleh mengemukakan rayuan kepada sekretariat FMLLP.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pasukan terlibat boleh mengemukakan rayuan demi kebajikan pemain pasukan masing- masing serta kemajuan Liga-M untuk jangka masa panjang.

-- BERNAMA