Hull City mengesahkan pengurus mereka, Steve Bruce, sedang mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Persatuan Bola Sepak (FA) England berhubung tugas mengurus skuad England.

Kerusi panas itu kosong selama tiga minggu selepas Roy Hodgson meletak jawatan sejurus selepas kekalahan England kepada Iceland di peringkat kalah mati Euro 2016.

Baru-baru ini, gambar pengurus Sunderland, Sam Allardyce, muncul di rumah Naib Pengerusi FA, David Gill, dirakam minggu lalu manakala bos Bournemouth, Eddie Howe, dan jurulatih Amerika Syarikat, Jurgen Klinsmann, juga disebut-sebut sebagai calon.

Sunderland dan Hull tampil menggesa FA England agar segera menyelesaikan pencarian mereka bagi mengelak gangguan persediaan kelab menjelang musim baru ini.

Menurut kenyataan yang dibuat Hull, "Kelab mengesahkan pengurus, Steve Bruce, telah mengadakan perbincangan tidak rasmi mengenai kekosongan jawatan pengurus England, bagaimanapun tiada tawaran rasmi telah diterima daripada FA.

"Kami berharap FA England memuktamadkan keputusan mereka bagi mengelakkan spekulasi mengenai Steve susulan kepentingan besar yang dipertaruhkan kelab apabila kami kembali ke Liga Perdana Inggeris."