Wira negara, skuad Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 5.50 petang hari ini.

Malaysia berjaya muncul naib juara edisi Piala AFF Suzuki 2018, selepas Vietnam muncul juara dengan kemenangan 1-0 di Hanoi malam tadi.

Bagi meraikan kejayaan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganjurkan sambutan khas bagi meraikan kepulangan Skuad Harimau Malaya yang akan turut berkonvoi ke beberapa lokasi seluruh negara.

Apa yang menarik, konvoi turut menyaksikan sebanyak 10 unit model terbaru Proton X70 yang akan membawa kesemua pemain Skuad Harimau Malaya.


Destinasi pertama, konvoi akan menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil serta beberapa lokasi lain sebelum berakhir di Dataran Merdeka yang bakal disambut meriah penyokong bola sepak negara.

Ini merupakan satu inisiatif (FAM) sebagai tanda penghargaan terhadap Skuad Bola Sepak negara yang telah berjuang sehingga mampu mara ke pusingan akhir perlawanan Piala AFF Suzuki di Hanoi selain merapatkan hubungan diantara penyokong bola sepak negara.

Kemaraan skuad bola sepak negara ke pusingan akhir sudah sesuatu yang disifatkan amat membanggakan meskipun berada di kedudukan naib juara. Apa yang penting, skuad Harimau Malaya tetap juara di hati masyarakat Malaysia.