ENGLAND 1 SWITZERLAND 0

Penyerang muda, Marcus Rashford, menjaringkan gol dalam dua aksi berturut-turut buat pertama kali dalam karier selepas membantu England kembali ke landasan kemenangan, apabila menewaskan Switzerland 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Bintang Manchester United itu memberikan skuad The Three Lions pendahuluan ketika England tewas 2-1 di tangan Sepanyol dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, kelmarin.

Dia merupakan salah seorang daripada dua nama yang kekal dalam kesebelasan utama tatkala pengurus pasukan, Gareth Southgate, menggunakan sistem penggiliran, sehingga menyebabkan persembahan ketika babak pertama agak perlahan.

Selepas gagal menunjukkan apa-apa peningkatan selepas rehat, Rashford memberikan peluang buat England untuk melarikan diri sementara daripada tiga kekalahan yang dilalui sebelum ini.

Xherdan Shaqiri melepaskan rembatan yang sekadar tersasar, tujuh minit selepas bekas rakan sepasukannya di Stoke City, Jack Butland, melakukan dua hantaran kurang kemas dari bahagian bawah.

Kesilapan pertama Butland hampir memberi ruang buat Mario Gavranovic dan Ricardo Rodriguez untuk menjaringkan gol tatkala England dilihat bergelut unuk mempamerkan permainan sebenar.

Danny Rose sekadar melihat bola rembatannya ditepis oleh Yann Sommer, selepas benteng Tottenham Hotspur itu banyak melibatkan diri dalam setiap serangan daripada tuan rumah.

Walaupun mempamerkan aksi yang longlai dalam babak perrtama, England bernasib baik apabila berupaya menunjukkan peningkatan kepantasan dan prestasi pasukan.

Ganjaran yang dinantikan tiba pada minit ke-54 apabila Kyle Walker bijak melambungkan bola dari sebelah kanan ke dalam kotak penalti, sebelum Rashford hadir dan menampan masuk bagi menjadikan kedudukan 1-0.

John Stones dibawa masuk ketika tiga pertukaran serentak dilakukan tatkala Harry Kane dan Jesse Lingard bertindak selaku pemain gantian, sebelum benteng Manchester City itu mengalami pertembungan dengan Shaqiri sehingga membuatkan kepalanya berdarah.

Stones tidak begitu menyinar sehingga membiarkan Albian Ajeti hampir menjaringkan gol, namun pemain gantian itu gagal menafikan kemenangan England.