CHRISTIAN Benteke menegaskan dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan Jurgen Klopp dan enggan menyalahkan pengurus dari Jerman itu atas sebab dia meninggalkan Liverpool.

Penyerang itu menyertai Liverpool dari Aston Villa pada Julai 2015, tetapi bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama selepas Brendan Rodgers telah digantikan dengan Klopp pada Oktober tahun lalu dan akhirnya meninggalkan kelab itu untuk ke Crystal Palace.

Bagaimanapun, Benteke tidak menyimpan sebarang dendam terhadap pengurus Liverpool itu.

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Klopp. Kami sentiasa mempunyai hubungan yang baik," kata Benteke kepada L'Equipe.

"Saya pergi berjumpa dengannya semasa musim pertama saya di Aston Villa pada tahun 2013, apabila dia mahu mendapatkan khidmat saya untuk beraksi bersama Borussia Dortmund. Dia suka cara saya bermain.

"Tetapi apabila saya menyertai Liverpool, Brendan Rodgers yang mahu saya. Kami bertemu dan mempunyai beberapa perbincangan yang baik, jadi saya memutuskan untuk beraksi bersama Liverpool. Kemudian selepas enam perlawanan dia telah dipecat. Saya hanya perlu menerima perkara itu dan berhadapan dengannya.

"Apabila Klopp datang, saya bukan pilihan pertama kerana kehebatan yang dimiliki oleh pemain lain. Mungkin saya bukan satu pilihan yang terbaik untuk corak permainannya dan pemain lain mungkin lebih sesuai.

"Saya tidak berkelakuan seperti kanak-kanak. Saya tidak menangis tentang apa yang berlaku. Walaupun saya mahu bermain, namun ia sangat mengecewakan."