Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan bekas pelumba Moto3 yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya awal hari ini.

"SIC dengan ini merakamkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada ahli keluarga susulan pemergian seseorang yang sangat rapat dengan kita di litar," kata SIC dalam satu kenyataan.

Husni Aizat, 20, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Kota Tinggi pagi ini.

Kemalangan berlaku di Jalan Tanjung Buai-Teluk Sengat pada 8.30 pagi apabila motosikal Husni terbabas ketika melalui selekoh tajam sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori terbabit.

Husni Aizat meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Felda Air Tawar 2.