Perlis mengesahkan akan menyertai acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 setelah hampir terlepas peluang untuk beraksi pada temasya itu akibat masalah kewangan.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Mohd Abd Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata pihaknya mendapat tajaan utama pada saat akhir, sekali gus membolehkan pemain-pemain muda Perlis beraksi dalam saingan di Padang Majlis Perbandaran Manjung yang bermula 9 hingga 19 Sept ini.

"Pihak kami mendapat tajaan utama sebanyak RM35,000 daripada sebuah syarikat pakaian dan barangan sukan iaitu i-17 Seventeen Sport Sdn Bhd, selain mendapat tajaan daripada beberapa pihak lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera dan Kit Pasukan Bola Sepak Sukma Perlis di sini, pada Ahad.

Beliau berkata Perlis diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Perak, Sarawak serta Negeri Sembilan.

Katanya walaupun umum mengetahui PFA menghadapi kemelut kewangan yang kritikal, ia bukan alasan untuk tidak melibatkan skuad Perlis dalam temasya sukan itu.

"Pemain-pemain muda harus diberi peluang beraksi pada kejohanan seumpama ini kerana di situ bakat mereka dapat diperkembangkan dan PFA juga telah melakukan pelbagai transformasi bagi memantapkan pasukan dan berharap akan mampu memberi saingan sengit kepada lawan nanti," katanya.

Mohd Abd Karim Khan berkata pihaknya juga mendapat persetujuan pengurusan beberapa kelab antaranya Melaka United untuk meminjamkan beberapa pemain bagi membantu skuad Perlis pada Sukma.

"Walaupun ada pemain pinjaman, sebahagian besar pemain terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah sukan di Perlis.

"Segalanya dibuat dengan teliti dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan melalui kerjasama ini, ia memberi peluang kepada pemain muda lain turut beraksi di peringkat kejohanan kebangsaan," katanya.

Mengenai PFA, beliau berkata satu kongres khas akan diadakan hujung bulan ini untuk menentukan kepimpinan baharu persatuan bagi memantapkan lagi pengurusan pasukan Singa Utara itu.

-- BERNAMA