Persatuan Bola Negeri Sembilan (PBNS) pada Selasa, mengumumkan Rhino sebagai penaja rasmi untuk jersi pasukan itu bagi mengharungi Liga Premier musim ini.

Penajaan itu melibatkan set lengkap sukan jenama Rhino, kit latihan dan pakaian kasual yang bakal digunakan oleh pasukan Liga Premier, Piala Presiden serta Piala Belia PBNS untuk tahun ini dan 2020, bernilai RM2 juta.

Bagi Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, penajaan jenama antarabangsa membuktikan pasukan Negeri Sembilan tahun ini mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan.

Pada masa sama, PBNS dan Rhino akan membuka kedai rasmi bagi mendapatkan barangan pasukan itu di Rahang Square, Seremban Februari tahun ini.

Ini bagi memenuhi permintaan penyokong-penyokong setia pasukan itu yang mahukan sebuah kedai berkonsepkan skuad Jang itu.

Rhino merupakan jenama dari United Kingdom dan merupakan pembekal nombor satu dunia bagi peralatan sukan ragbi.

Memahami budaya dan aspek komersil di negara ini, Rhino harus mengutamakan bola sepak untuk memasuki pasaran di negara ini.

Dalam rancangan Bual Bola sebelum ini, Pengerusi Rhino Asia Tenggara (SEA), Nizamuddin Hamid ada menyatakan bahawa fokus utama untuk syarikat itu adalah untuk bola sepak dari segi pakaian dan pengurusan padang bola sepak.

Pada masa sama, Rhino tidak melupakan asas utama jenama itu bagi sukan ragbi dan bakal membuka kompleks pelbagai sukan, Rhino Arena di Lembah Klang kelak.

Rhino Arena untuk bola sepak yang pertama dibuka di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru dan yang kedua akan melibatkan gelanggang padang sintetik milik PBNS di Seremban.

PBNS bersama Rhino SEA akan mengadakan majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi PBNS di Mydin Seremban 2 pada 27 Januari 2019 nanti.