Kebimbangan utama pemanah compound wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, adalah kepada kekuatan mental setiap atlet, apatah lagi Sukan SEA 2017 merupakan temasya besar yang akan berlangsung di Malaysia.

Daripada segi teknik, semuanya berada dalam persediaan terbaik.

Namun, ada kegusaran Fatin membabitkan kekuatan mental skuad memanah compound menjelang saingan Sukan SEA nanti.

Beraksi di tempat sendiri dengan kehadiran penyokong yang dijangka ramai, sudah pasti menghadirkan situasi berbeza dan kekuatan mental memainkan peranan ketika itu.

Fatin menegaskan bahawa sebarang kesilapan yang dilakukan di dalam pertandingan mampu mengundang padah.

"Kebanyakan pemanah tewas kerana kekuatan mental yang tidak berada di tahap terbaik, ia merupakan kelemahan yang dihadapi oleh setiap pemanah" katanya.

Persediaan skuad memanah berjalan lancar dan mereka kini dalam persediaan terbaik fasa ketiga Program Kita Juara.

Lima kejohanan penting bakal dilalui skuad negara sebagai persediaan sebelum Sukan SEA 2017,
antaranya Kejohanan Piala Dunia di Shanghai, Turki dan Amerika Syarikat selain dua kejohanan tempatan, Sirkit Memanah Kebangsaan Kedua dan Terbuka Antarabangsa USM dari 17 hingga 21 Mei.