Juara bertahan Rafael Nadal terpaksa bergelut dalam empat set untuk layak ke pusingan suku akhir Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Nadal dipaksa bekerja keras ketika menentang pemain bukan pilihan, Nikoloz Basilashvili.

Nadal menang dua set, sebelum Basilashvili merapatkan permainan untuk menang set ketiga.

Permainan berlanjutan dan akhirnya Nadal menang dengan 6-3, 6-3, 6-7 (6-8), 6-4.

Dia bakal berdepan pilihan kesembilan Dominic Thiem di suku akhir.

Dalam satu lagi aksi di Flushing Meadows, Thiem layak ke suku akhir selepas menewaskan pemenang tempat kedua Terbuka AS tahun lalu, Kevin Anderson.

Thieam menundukkan Anderson dengan 7-5, 6-2, 7-6 (7-2).

Ini adalah kali pertama Thiem layak ke pusingan lapan terakhir Terbuka AS.

Wakil dari Austria ini menyifatkan aksi menentang Anderson sebagai yang terbaik sepanjang kariernya.

Tahun lalu, cabaran Thiem berakhir apabila tewas kepada Juan Martin Del Potro dalam pertembungan lima set.