Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata dua atlet menembak kebangsaan boleh meneruskan hasrat mereka untuk menfailkan saman terhadap pihak yang gagal mengemukakan bukti mendakwa mereka menghadapi masalah disiplin sehingga digugurkan daripada senarai atlet ke Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29 2017.

Khairy, bagaimanapun mengingatkan atlet terbabit mengenai proses pemilihan atlet untuk disenaraikan ke temasya dwi tahunan itu dibuat berdasarkan kriteria tertentu yang telah ditetapkan.

"MSN kena buat persiapan (jika disaman). Atlet terbabit pula perlu sedar bahawa dalam proses pemilihan dibuat berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan.

"Mereka juga perlu memahami (terma dan syarat) ketika menandatangani kontrak sebagai atlet di bawah Program Podium...perlu faham kriteria itu," katanya pada sidang media selepas sesi Dialog TN50 bersama warga sukan di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Khamis lepas, dua atlet elit menembak negara Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim tampil meminta pihak terbabit mengemukakan bukti bahawa mereka menghadapi masalah disiplin menyebabkan digugurkan daripada skuad menembak Sukan SEA ke-29.

Muslifah berkata dakwaan beliau menghadapi masalah disiplin adalah alasan yang sengaja direka oleh pihak tertentu bagi menampakkan gambaran negatif terhadap personaliti serta prestasinya.

Seramai 20 atlet membabitkan 13 lelaki dan tujuh wanita tersenarai bagi menggalas cabaran skuad menembak negara, yang menyasarkan empat pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur.

Edisi kali ini menyaksikan Persatuan Menembak Malaysia (NSAM) menyenaraikan penembak muda Nur Izazi Rosli, 17, dan Shahera Rahim Raja dalam acara 10m Air Rifle selepas kedua-dua mereka layak secara merit.

Untuk rekod, Muslifah yang bergandingan dengan Nur Ayuni dan Nur Suryani Taibi meraih pingat gangsa acara 50m Rifle Prone Berpasukan pada Sukan Asia 2014.

-- BERNAMA