Perbelanjaan teknologi maklumat di Malaysia dijangka meningkat sebanyak lapan peratus dan mencecah RM71.7 bilion pada 2017 berbanding tahun lepas, menurut Gartner Inc.

Dalam kenyataan hari ini, Gartner berkata unjuran pertumbuhan itu sejajar dengan jangkaan peningkatan perbelanjaan teknologi maklumat di seluruh dunia, yang mencecah US$3.5 trilion (US$1=RM4.44) pada 2017, meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding 2016.

Syarikat penasihat dan penyelidikan teknologi maklumat itu berkata perbelanjaan ke atas peranti seperti komputer peribadi, tablet, ultramobile dan telefon mudah alih dijangka naik sebanyak 1.7 peratus kepada US$645 bilion pada tahun ini.

Ia juga berkata pertumbuhan bagi perbelanjaan telefon mudah alih pada tahun ini akan dipacu oleh peningkatan purata harga jualan bagi telefon di pasaran Asia Pasifik dan China yang sedang pesat membangun.

Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan John-David Lovelock berkata pengukuhan dolar AS mengurangkan US$67 bilion daripada unjuran perbelanjaan teknologi maklumat 2017 Gartner.

"Kami menjangka keadaan tidak menentu mata wang ini akan mempengaruhi pendapatan multinasional vendor teknologi maklumat dari AS pada tahun ini," katanya. - BERNAMA