Selepas mengambil keputusan meninggalkan kumpulan Fnatic, pemain profesional sukan elektronik (e-sukan) Dota 2, Chai Yee Fun (Mushi) mengumumkan beliau akan memimpin pasukan Mineski Malaysia bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif pasukan tersebut, Yap Chee Loong (Kenchi).

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Mushi berkata beliau ditugaskan sebagai kapten pasukan dan akan terlibat sendiri dalam pencarian pemain lain yang bakal bermain di peringkat tertinggi dan mewakili Asia Tenggara dalam industri e-sukan.

“Saya amat berbesar hati untuk menjadi kapten pasukan Mineski Dota. Selepas meninggalkan pasukan Fnatic, saya menerima panggilan daripada Kenchi.

“Dia merupakan antara nama besar dalam industri e-sukan. Saya menganggapnya sebagai seorang mentor dan abang. Kami mempunyai pandangan yang sama dalam e-sukan.

“Melihat keikhlasannya, dia berjaya meyakinkan saya untuk melebarkan sayap di bawah Mineski,” kata Mushi.


Tambah Mushi, beliau membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Kenchi bagi membentuk sebuah pasukan yang bertaraf dunia.

Sementara itu, Kenchi berkata pengalaman dan keupayaan serba boleh Mushi sebagai pemain sememangnya akan memberi impak positif kepada pasukan Mineski.

“Membentuk semula pasukan Mineski merupakan keutamaan saya dalam tahun 2017 selain mengurus perniagaan kafe siber saya.

“Dalam pengurusan pasukan e-sukan, saya tahu cabaran yang paling besar adalah mencari pemain yang bukan sekadar mempunyai skill tetapi ketahanan mental yang baik.

“Mushi merupakan pemain pertama yang berlegar di minda saya, apabila saya mendapat tahu dia meninggalkan kumpulan Fnatic,” tambah Kenchi.

Mineski akan mendedahkan barisan pemain Dotanya yang bakal menggegarkan industri e-sukan, Dota terutamanya dalam beberapa minggu akan datang.