Memasak menggunakan kuali sememangnya satu rutin biasa di dapur. Selain menggoreng, kuali boleh digunakan untuk merebus, menumis dan memasak masakan berkuah.

Selari dengan perkembangan zaman, pelbagai jenis kuali digunakan di dapur, gerai dan restoran. Kepelbagaian kuali dibezakan melalui jenis besi yang digunakan, saiz dan rekabentuknya.

Hari ini, ramai yang turut memilih untuk mengguna kuali non-stick yang tidak memerlukan penggunaan minyak yang banyak untuk menggoreng.

Tidak kiralah apa jenis kuali yang digunakan, satu masalah yang terus menghantui suri rumah dan para peniaga makanan adalah pembersihan bahagian buntut kuali.

DAPUR DAN JELAGA

Di Malaysia, aktiviti memasak di rumah banyak menggunakan dapur gas. Untuk acara memasak yang lebih besar seperti kenduri, dapur kayu turut digunakan.

Kedua-dua jenis dapur ini menghasilkan satu masalah sama, iaitu kesan jelaga yang sekiranya tidak dibersihkan dengan baik, akan terus menebal hingga menjadi kerak di buntut kuali.

Jika ini berlaku, ia bakal menjadi mimpi ngeri terutamanya buat para suri rumah. Meskipun disental menggunakan berus dawai, kerak ini tidak mudah ditewaskan dengan cara cucian yang biasa.

Buntut kuali yang kerkerak menjadikan kuali nampak jijik dan kotor. Lebih teruk, ia mungkin akan mematahkan selera makan, terutamanya bagi pelanggan di premis-premis makanan.

PENDAPAT MENGENAI KERAK KUALI

Uniknya, masyarakat umum mempunyai pendapat yang pelbagai mengenai kerak di buntut kuali.

Ada yang berpendapat, kerak yang tebal adalah bukti yang pemilik kuali seorang yang rajin memasak. Justeru, ia menjadi satu perkara yang biasa diperhatikan ibu mentua bila berkunjung ke rumah menantu perempuan.

Pada forum sembang maya Halaqah.net, ada yang berpendapat bahawa kerak yang tebal boleh membantu menyedapkan makanan yang dimasak kerana ia membantu menyebarkan haba dengan baik ke seluruh kuali.

Orang zaman dahulu, guna periuk sampai tiga keturunan tak bocor-bocor pun. Sebenarnya ada kebaikan periuk hitam berjelaga ni, lagi tebal jelaganya lagi baik, sebab periuk susah nak bocor. Tapi siaplah nanti sampai ke hidung-hidung ada jelaga, komen ahli forum yang menggunakan nama Ummi Munaliza.

BERSIH CARA KREATIF

Pensyarah Politeknik Ungku Omar, Zulkarnain Jamak menyedari nilai sebuah kuali lebih daripada sebagai alat memasak selepas berkahwin pada tahun lepas.

Saya tengok kuali milik isteri, hitam legam dan kotor. Bila saya tanya berapa umur kuali itu, jawabnya sudah berbelas tahun. Barulah saya faham kuali ini warisan keluarga. Ia punya sentimental value, memang sayang nak buang tapi isteri saya dah habis ikhtiar bagaimana nak bersihkannya.

Saya kaji pelbagai cara pembersihan kuali dan periuk. Banyak yang guna bahan kimia tapi saya tak rasa sesuai kerana ini alat memasak. Jadi saya guna elemen mekanikal untuk cuba bersihkan dan ia berjaya, jelas beliau.

Menggunakan berus wayar yang dipasang di mesin gerudi, Zulkarnain berkata kelajuan dan kekuatan yang ada pada alat ini mengikis kerak di kuali dan periuk.

Kekuatan mesin boleh disesuaikan dengan tahap legam di kuali. Purata masa yang diperlukan untuk pembersihan sebuah kuali adalah antara dua hingga tiga jam ketika, katanya ketika ditemui di rumahnya di Balakong, Selangor baru-baru ini.

BANTU SURI RUMAH

Zulkarnain berkata, sebagai seorang suami, ini adalah satu cara untuk menunjukkan penghargaan kepada isteri dan suri rumah yang lain.

Tambah beliau, jika suami tidak gemar melihat kuali yang hitam legam, begitu jugalah perasaan si isteri.

Mereka masak untuk kita makan juga. Jadi secara tidak langsung kita juga adalah penyebab kepada kehitaman tersebut. Kuali yang bersih secara tidak langsung membantu suri rumah menjalankan kerja mereka di dapur, sebenarnya, katanya sambil ketawa.

PENDAPATAN SAMPINGAN

Zulkarnain menjadikan kerja membersih kuali bagi mengisi masa lapang, di samping menjana pendapatan sampingan.

Setiap kuali atau periuk yang dibersih dikenakan bayaran mengikut saiz, bermula dengan harga serendah RM10.

Beliau, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat kedoktoran dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), turut membuka peluang untuk anak muda yang ingin belajar skil ini.

Ini terutama bagi yang masih menganggur, kerja ini boleh memberi pendapatan untuk menampung kehidupan seharian. Dengan modal yang kecil, kelas yang pendek dan sedikit kesungguhan mereka sudah boleh memulakan perniagaan sendiri.

Lihat sahaja berapa banyak rumah yang ada di sekitar kita, sebanyak itu jugalah potensi pelanggan yang kita ada. Bayangkan untuk setiap rumah, berapa periuk dan kuali yang mereka ada. Ini semua peluang, katanya.

Zulkarnain menegaskan bahawa permintaan terhadap servis ini tidak pernah putus. Malahan, kadangkala tidak menang tangan dengan kehadiran pelanggan. Banyak juga pelanggan yang hampa kerana faktor lokasi yang jauh.

Zulkarnain boleh dihubungi melalui akaun Facebook Teratakku Permai atau telefon 0127116068