BEBERAPA perkataan dan istilah daripada bahasa Melayu diterima masuk ke dalam kamus bahasa Inggeris, Oxford.

Laporan portal The Independent menyebut, antara perkataan dan istilah tersebut ialah 'Mamak', 'rendang', dan 'Char Kuey Tiow'.

Dalam kemas kini terbaharu yang dimuat naik ke laman webnya, Oxford English Dictionary (OED) memasukkan kira-kira 1,200 perkataan dan terma baharu untuk kemas kini edisi bulan September 2016.

Turut dimasukkan adalah perkataan yang terhasil daripada ekspresi seperti 'aiyah' dan 'aiyoh'.

Tidak ketinggalan adalah istilah percakapan atau bahasa pasar yang sering digunakan dalam bahasa Inggeris, seperti Merica (America), fuhgeddaboudit (forget about it) dan squee (squeal).

Kamus Oxford dikemas kini empat kali setahun, iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember.

Oxford dikenali dan dipercayai ramai sebagai penyimpan rekod istilah dan perkataan bahasa Inggeris paling tepat.