Kebiasaannya, petani menggunakan pelbagai helah untuk menyelamatkan hasil tanaman mereka daripada dicuri dan dimakan haiwan.

Di sawah padi amnya, pesawah menggunakan patung yang dikenali orang-orang bagi mengelakkan hasil padi di makan oleh burung-burung.

Namun seorang petani di Andhra Pradesh, India mempunyai kaedah yang sangat berbeza.

Chenchu Reddy, 45 tahun, percaya dengan meletakkan poster pelakon-pelakon filem lucah di ladangnya, sayur-sayuran yang ditanamnya akan menghasilkan kuantiti yang banyak dan berkualiti.

Mempunyai ladang berkeluasan 4 hektar, Chenchu berkata idea untuk meletakkan poster-poster tersebut adalah bagi membolehkan penduduk di kampungnya fokus terhadap wanita dalam gambar itu dan tidak lagi mencuri hasil tanamannya.

Untuk menjayakan misi ini, Chenchu memilih menggunakan gambar bekas pelakon filem lucah terkenal iaitu Sunny Leone yang berposing menggunakan bikini berwarna merah.

Menerusi Irish Mirror, Chenchu berkata teknik ini sangat berkesan dan penduduk di kampungnya lebih focus kepada poster berkenaan berbanding hasil tanamannya.

Tambahnya, dia tidak takut sekiranya pihak berkuasa memintanya untuk menurunkan poster tersebut kerana percaya mereka tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Ini kerana sebelum ini mereka tidak pernah mengambil tahu tentang masalah yang dihadapi golongan petani di sana.