Satu projek teknologi pemuliharaan hutan paya bakau di Malaysia yang digerakkan oleh firma telekomunikasi antarabangsa Ericsson, telah diumumkan sebagai salah satu daripada 13 pemenang anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim ‘Momentum for Change’ yang akan diadakan di sebuah Persidangan Perubahan Iklim PBB di Marrakech, Maghribi pada November.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat telekomunikasi itu pada Khamis, projek 'Connected Mangroves' menggunakan sensor untuk memberikan maklumat semasa untuk memulihkan semula hutan bakau yang semakin berkurangan.

“Antara objektif projek 'Connected Mangroves' adalah untuk menangani bahagian penting dalam ekosistem pantai di Malaysia sepanjang hampir 4,828km (3,000 batu).

"Dengan menggabungkan inovasi ICT (teknologi maklumat) dengan perkongsian kerjasama yang dibina berlandas atas visi ini, kami kini melihat peratusan yang lebih tinggi untuk pertumbuhan pokok bakau," kata Ketua Ericsson Malaysia dan Sri Lanka, Todd Ashton.

Bagi projek itu, sukarelawan menanam anak pokok bakau yang telah dilengkapi dengan sensor yang boleh memantau maklumat semasa tentang tanah dan keadaan cuaca, kebakaran, paras air dan pencerobohan dari pihak ketiga untuk memastikan pertumbuhan yang positif dan pemulihan semula pantai yang terhakis.

Data dikumpulkan dan dihantar terus kepada perkhidmatan Cloud di mana pengguna, seperti petani, wakil pertubuhan bukan kerajaan , penganalisis dan pihak berkuasa, boleh mempunyai akses kepada maklumat itu untuk memahami lebih lanjut mengenai status semasa anak-anak pokok itu.

Momentum for Change merupakan inisiatif yang diterajui oleh sekretariat UN Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) untuk memberi fokus kepada inisiatif yang dilakukan orang orang ramai untuk menangani perubahan iklim.

Projek "Connected Mangroves" telah dianugerahkan di bawah Momentum for Change ICT Solutions kerana ia adalah satu contoh bagaimana ICT dan mobiliti boleh digabungkan untuk memulihkan ladang bakau yang semakin berkurangan.