Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi peringatan kepada orang ramai agar menjaga kesopanan ketika di jalan raya.

Kesopanan yang dimaksudkan bukan sekadar dari aspek pemanduan, tetapi juga pemakaian.

Dalam satu entri di Facebook, JPJ memuat naik borang saman beserta sekeping gambar seorang penunggang motosikal.

Apa yang menggelikan hati netizen adalah kerana gambar itu memaparkan penunggang motosikal terbabit dengan seluar yang terlondeh sehingga menampakkan bahagian punggungnya.

Ramai berpendapat penunggang itu menunggang terlampau laju sehingga menyebabkan keadaan memalukan berkenaan terjadi dan berjaya pula dirakam kamera pemantauan pihak berkuasa.

"Di samping mematuhi had laju yang telah ditetapkan, sikap sopan santun perlu ada di jalan raya.

"Nanti nak bayar saman, terasa malu dan segan di kaunter," itu kapsyen yang tertulis.

Entri itu menerima lebih 7,000 perkongsian dan 11,000 reaksi sejak dimuat naik petang Jumaat.