Kira-kira satu peratus daripada penghidap kanser payu dara yang dikesan di Kelantan adalah lelaki yang berdepan kadar kematian atau mortaliti lebih tinggi berbanding pesakit wanita berikutan kanser itu lebih agresif terhadap kaum Adam.

Ketua Bahagian dan Pakar Bedah Perunding Kanan Endokrin dan Pembedahan Payu Dara Hospital Raja Perempuan Zainab II Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata antara faktor yang menyumbang kanser payu dara dalam kalangan lelaki ialah genetik dan keturunan.

"Antara 250 dan 300 pesakit kanser payu dara dikesan di Kelantan setiap tahun dan daripada jumlah itu satu peratus adalah lelaki," katanya kepada pemberita selepas program 'Pink Walk Kaseh' anjuran Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di Padang Maktab Sultan Ismail, di sini hari ini.

Program berjalan kaki sejauh 4.5 kilometer yang disertai kira-kira 7,000 peserta itu dirasmikan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman.

Hadir sama Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Mohamad dan Duta Kanser POKB Datuk Khadijah Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr Imi Sairi berkata kira-kira 54 peratus pesakit kanser payu dara hanya mendapatkan rawatan klinikal selepas kanser mereka pada tahap tiga dan empat.

"Jika kanser tidak dikesan di peringkat awal ia mampu menjadi pembunuh senyap," katanya.

Sementara itu, Khadijah menasihati pesakit yang didiagnosis dengan kanser agar mendapatkan rawatan klinikal secepat mungkin bagi mengelakkan ia merebak dan membahayakan pesakit.

"Jangan pula selepas dikenal pasti menghidap kanser kita dapatkan rawatan alternatif terlebih dahulu tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor," katanya.

-- BERNAMA