Bajet 2014, yang akan dibentangkan pada Jumaat, dijangka sebuah belanjawan yang seimbang dan bertanggungjawab fiskal, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar.

Belanjawan itu juga akan digunakan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi semasa seperti yang dilihat dalam program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan dan sektor swasta.

"Isu dalam belanjawan ini adalah untuk mengekalkan pertumbuhan, memastikan semua orang mendapatnya, pentadbiran awam yang baik sambil memastikan cabaran fiskal ditangani," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Simposium Pasaran Modal Dunia 2013 di sini semalam.

Mengenai pasaran modal, Azman berkata, ia telah menunjukkan daya tahan yang hebat selepas melalui dua krisis besar dalam 15 tahun yang lalu, termasuk krisis kewangan 1998 serta krisis kewangan global pada tahun 2008 yang dicetuskan oleh masalah Lehman Brothers Holdings di Amerika Syarikat.

Beliau berkata daya tahan pasaran modal Malaysia dalam tempoh 20 tahun lepas adalah berikutan simpanan yang kukuh, pasaran modal Islam yang mantap disokong kumpulan peserta pasaran yang inovatif dan pengawal selia yang boleh dipercayai.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, pasaran modal perlu digunakan sebagai sebahagian daripada penyelesaian untuk menghadapi cabaran yang timbul daripada Model Baru Ekonomi (MBE) dan bukan dilihat sebagai masalah.

"Ia boleh digunakan sebagai asas untuk membantu bukan sahaja pertumbuhan tetapi juga pembangunan negara seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ucaptama beliau pagi ini," kata Azman.

Terdahulu, Najib berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya mengelirukan pertumbuhan dengan pembangunan, sambil menambah bahawa, "mencapai pertumbuhan yang sangat tinggi hari ini tidak semestinya bermakna kita akan mencapai taraf maju esok, dan kita juga tidak harus mengukur pembangunan negara berdasarkan pendapatan per kapita semata-mata."

"Oleh itu, matlamat kita sepatutnya adalah untuk mengoptimumkan, bukan memaksimumkan; dengan tujuan jangka panjang, dan bukannya serta-merta, untuk melakukan sesuatu yang betul," kata beliau.

Salah satu objektif MBE, pelan ekonomi yang dilancarkan pada 30 Mac, 2010 oleh Najib, adalah untuk mencapai lebih daripada dua kali ganda pendapatan per kapita di Malaysia pada tahun 2020.