Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang khabar angin kononnya bandar Teluk Intan akan tenggelam, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata sehingga kini masih tiada tanda-tanda kawasan di sekitar Teluk Intan akan berlaku banjir besar.

"Seperti yang kita lihat keadaan di sini ternyata tidak benar sama sekali. Apa yang kita lihat air surut dan mengalir ke bawah (muara) dan belum ada tanda-tanda akan berlaku banjir.

"Ini kerana terdapat cakap-cakap atau tulisan di media sosial yang kata Teluk Intan akan tenggelam, banjir besar....ini tidak benar sama sekali," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa meninjau keadaaan Sungai Perak di Jeti Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Sementara itu, Zambry meminta semua penduduk yang tinggal di tepi dan pinggir sungai di negeri ini supaya mematuhi arahan pihak berkuasa agar segera berpindah sekiranya diarah berbuat demikian.

"Sama juga kita minta kepada penduduk yang terlibat seperti di Kuala Kangsar, Perak Tengah dan di Hulu Perak, ambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikut arahan jika dikehendaki keluar dari kawasan itu," katanya.

Beliau berkata ia bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Di Perak jumlah mangsa banjir adalah sebanyak 6,119 orang dengan daerah Kuala Kangsar merekod jumlah 2,579 mangsa di 50 pusat pemindahan setakat petang tadi.