Skip to main content

Malaysia

Lebih 500 rumah terjejas akibat banjir di Sungai Buloh

Ramanan berkata, pemantauan turut dilakukan bersama pihak berkuasa dan berkepentingan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan keperluan asas penduduk yang terkesan diberikan perhatian sewajarnya. - Gambar Facebook Ramanan Ramakrishnan Official Media
Ramanan berkata, pemantauan turut dilakukan bersama pihak berkuasa dan berkepentingan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan keperluan asas penduduk yang terkesan diberikan perhatian sewajarnya. - Gambar Facebook Ramanan Ramakrishnan Official Media
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 500 rumah terjejas akibat banjir selepas hujan lebat melanda beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Selangor, terutama di Kampung Melayu Subang, semalam.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, mangsa yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.

“PPS ini akan beroperasi sepanjang tempoh yang diperlukan bagi memastikan penduduk terjejas mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Advertisement

Beliau berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama sukarelawan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan, khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pemantauan turut dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Melayu Subang bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan keperluan asas penduduk yang terkesan diberikan perhatian sewajarnya.

Advertisement

“Saya juga menyeru seluruh penduduk Sungai Buloh agar sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca, mengikuti arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan kami. Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan terus memantau keadaan semasa dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan tiada penduduk yang terkesan terpinggir daripada menerima bantuan yang diperlukan,” katanya.

Ramanan berkata, beliau juga berharap semoga segala urusan dipermudahkan dan semua penduduk berada dalam keadaan selamat.

  -- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement