Ringkasan AI
- Boustead Holdings Bhd menubuhkan Akademi Boustead bersama PT MarkPlus Indonesia untuk memperkukuh pembangunan modal insan dan kepimpinan dalam industri pertahanan negara.
- Memorandum Kerjasama memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, budaya prestasi tinggi dan transformasi organisasi bagi memperkasakan keupayaan jangka panjang kumpulan.
- Akademi Boustead dijangka menyokong Dasar Industri Pertahanan Negara serta mempercepat agenda transformasi dan daya saing industri pertahanan tempatan.
KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd (BHB) memperkukuh usaha pembangunan modal insan dan kepimpinan menerusi penubuhan Akademi Boustead hasil kerjasama strategik dengan PT MarkPlus Indonesia (MCorp), dalam usaha menyokong aspirasi syarikat sebagai pemain utama dalam industri pertahanan negara.
Kerjasama itu dimeterai melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, pembudayaan prestasi tinggi serta transformasi organisasi bagi memperkasakan keupayaan jangka panjang kumpulan.
Pengerusi BHB, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkasa budaya organisasi, mengoptimumkan potensi tenaga kerja dan memacu penciptaan nilai mampan.
"Hala tuju strategik ini akan memperkukuh keupayaan Kumpulan Boustead dalam memenuhi keperluan pertahanan Kerajaan, membangunkan bakat tempatan, meningkatkan keupayaan industri domestik serta membina ekosistem industri pertahanan Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berkeupayaan kendiri," katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara BHB dan MCorp yang berlangsung pada Isnin.
Beliau berkata Akademi Boustead akan menjadi platform pembangunan bakat dan kepimpinan yang menyokong objektif Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), selain membantu memperkukuh sektor pembuatan bernilai tinggi, inovasi teknologi dan kerjasama strategik antara sektor awam serta swasta.
Menurut beliau, usaha itu juga sejajar dengan agenda transformasi BHB untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing industri pertahanan tempatan.
Memorandum berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan BHB, Datuk Ahmad Sabirin Arshad dan Pengasas serta Pengerusi MCorp, Hermawan Kartajaya.
Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata kerjasama tersebut merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan bakat yang akan membentuk fasa pertumbuhan seterusnya Kumpulan.
"Kerjasama ini merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan bakat yang akan membentuk fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan serta memastikan tenaga kerja kami memiliki kompetensi dan kesiapsiagaan untuk memenuhi keperluan perniagaan yang terus berkembang," katanya.
Beliau berkata Akademi Boustead akan memberi penekanan kepada pembangunan barisan pemimpin masa depan, pemindahan pengetahuan institusi serta pengukuhan kepakaran khusus yang diperlukan untuk merealisasikan keutamaan strategik kumpulan.
BHB berkata kerjasama dengan MCorp dijangka membantu mempercepatkan agenda transformasi syarikat ke arah pembentukan organisasi berprestasi tinggi yang mampu menyokong pertumbuhan mampan dan keperluan industri pertahanan negara pada masa hadapan.