Skip to main content

Dunia

Makanan eratkan hubungan ASEAN melangkaui mesyuarat rasmi - Setiausaha Agung

Kao Kim Hourn berkata pengalaman yang dikongsi bersama, khususnya menerusi makanan dan pertukaran budaya, membantu merapatkan hubungan antara masyarakat walaupun mempunyai latar belakang budaya yang berbeza. - Foto fail/AP
Kao Kim Hourn berkata pengalaman yang dikongsi bersama, khususnya menerusi makanan dan pertukaran budaya, membantu merapatkan hubungan antara masyarakat walaupun mempunyai latar belakang budaya yang berbeza. - Foto fail/AP
Advertisement

JAKARTA: Persahabatan dan kerjasama antara negara anggota ASEAN bukan sekadar terjalin menerusi mesyuarat rasmi, malah diplomasi kulinari turut memainkan peranan sebagai penghubung dalam memperdalam pemahaman budaya dan memperkukuh perpaduan serantau.

Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn berkata pengalaman yang dikongsi bersama, khususnya menerusi makanan dan pertukaran budaya, membantu merapatkan hubungan antara masyarakat walaupun mempunyai latar belakang budaya yang berbeza.

"Perhimpunan seperti ini menunjukkan bahawa persahabatan dan kerjasama kita bukan sahaja berkembang menerusi mesyuarat rasmi, tetapi juga melalui pengalaman bersama serta kegembiraan dalam menghargai budaya, makanan dan persahabatan antara satu sama lain," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malaysia Truly Asia: Malaysian Flavours yang berlangsung di bangunan Sekretariat ASEAN di sini pada Isnin.

Program yang dihadiri kira-kira 350 anggota komuniti ASEAN itu dianjurkan oleh Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN bersama rakyat Malaysia yang berkhidmat di sekretariat berkenaan bagi mempromosikan diplomasi budaya dan memperkukuh hubungan serantau, selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri Malaysia 2026-2030.

Advertisement

Kao berkata perdagangan, penghijrahan dan pertukaran budaya sejak berabad-abad lalu telah membentuk kepelbagaian tradisi makanan di rantau ini, sekali gus menyatukan masyarakat dan mengeratkan hubungan antara penduduknya walaupun berbeza latar belakang.

Sementara itu, Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Duta Besar Datin Sarah Al Bakri Devadason berkata makanan sejak sekian lama menjadi medium untuk menyambut tetamu, memupuk hubungan baik dan menunjukkan keprihatinan dalam masyarakat Malaysia.

Beliau berkata Malaysia percaya bahawa pemahaman budaya amat penting dalam membina persahabatan yang berkekalan, sambil merujuk peribahasa Melayu "tak kenal maka tak cinta".

"Persahabatan antara negara bukan sahaja terjalin di meja rundingan, tetapi juga di meja makan.

"Di Sekretariat ASEAN ini, komuniti kita merupakan sebuah keluarga ASEAN. Oleh itu, amat wajar untuk kami membawa program ini kepada anda di sini, di rumah ASEAN kita, dengan bantuan rakyat Malaysia yang berkhidmat di Sekretariat ASEAN," katanya.

Sarah berkata program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih luas oleh perwakilan diplomatik Malaysia di seluruh dunia yang bekerjasama dengan rakyat Malaysia di luar negara untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya, nilai dan tradisi negara kepada masyarakat setempat.

Acara itu turut menyokong Program Sinergi Rakyat Malaysia di Luar Negara (PSRM) yang menekankan diplomasi budaya dan kerjasama dalam kalangan rakyat Malaysia di luar negara, selain mempromosikan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa menerusi persembahan muzik tradisional dan sesi karaoke yang menampilkan lagu-lagu Melayu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement