Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan bercadang untuk menggunakan helikopter bagi membawa masuk bot penyelamat ke kawasan bencana banjir.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Hussin Ab Rahman berkata alternatif itu dipertimbangkan berikutan bot tidak dapat melalui kawasan yang arus sangat deras.

Beliau berkata pihak bomba bercadang meminta bantuan khidmat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tujuan itu.

"Bagaimanapun ia perancangan awal pihak bomba. Ia tertakluk kepada situasi dan sebolehnya kita akan cuba membawa masuk bot menggunakan jalan darat iaitu dengan lori kerana ia lebih mudah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika ini helikopter milik jabatan sedang membuat pemantauan di kawasan yang teruk terjejas banjir khususnya di Kuala Krai, terutama untuk mengesan mangsa banjir yang mungkin terkandas.

Hussin berkata penduduk di sekitar Kota Baharu diminta bersedia menghadapi kemungkinan air banjir naik mendadak.

"Ini kerana banjir di Gua Musang semakin buruk dan limpahan air mungkin akan turun ke daerah ini.

"Semua kena bersedia, pihak kami telah membuat persediaan dengan menempatkan bot di kawasan yang telah dikenal pasti," katanya.