Skip to main content

Bisnes

MOF tidak pernah arah pembatalan projek jalan luar bandar - Tengku Zafrul

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penangguhan itu dibuat berikutan perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen setiap tahun sejak 2022, sehingga menyebabkan peningkatan komitmen kontrak dan tunggakan bayaran kepada kontraktor. - BERNAMA
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penangguhan itu dibuat berikutan perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen setiap tahun sejak 2022, sehingga menyebabkan peningkatan komitmen kontrak dan tunggakan bayaran kepada kontraktor. - BERNAMA

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) tidak pernah mengeluarkan arahan pembatalan projek jalan luar bandar, sebaliknya hanya menangguhkan kontrak baharu bagi mengelakkan tunggakan bayaran kepada kontraktor terus meningkat.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penangguhan itu dibuat berikutan perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen setiap tahun sejak 2022, sehingga menyebabkan peningkatan komitmen kontrak dan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

“Penangguhan kontrak baharu juga tidak bererti projek sedia ada dibatalkan. MOF tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan projek. Kontrak baharu ditangguhkan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat. 

Advertisement

“Itu dua perkara yang berbeza. Sebab itulah kewangan negara mesti diurus dengan cermat, bukan sekadar meluluskan projek tetapi memastikan ada peruntukan yang mencukupi untuk membayarnya,” katanya menerusi perkongsian video di laman sosial beliau hari ini.  

Tengku Zafrul berkata dakwaan bahawa peruntukan jalan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, sengaja dikurangkan perlu dinilai berdasarkan angka perbelanjaan sebenar kerajaan bagi tempoh berkenaan.

Advertisement

Beliau berkata perbelanjaan jalan luar bandar bagi tempoh 2023 hingga 2027, termasuk peruntukan tahun ini dan tahun hadapan, meningkat kepada RM11 bilion berbanding RM3.7 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2022, iaitu hampir tiga kali ganda.

“Di Sabah dan Sarawak sahaja, perbelanjaan sebenar jalan luar bandar tahun ini mencecah RM1.41 bilion, tertinggi dalam tempoh 10 tahun. 

“Sejak 2023, sebanyak RM4.6 bilion telah dibelanjakan. Setiap tahun, kira-kira separuh daripada perbelanjaan jalan luar bandar seluruh negara disalurkan ke Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan. Sabah dan Sarawak didahulukan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata MOF perlu mengimbangi keperluan peruntukan semua kementerian, termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar bagi memastikan komitmen kewangan kerajaan dapat dipenuhi.

Beliau berkata apabila sesebuah kementerian membuat komitmen perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan, MOF perlu mencari sumber kewangan tambahan untuk menampung keperluan berkenaan.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan telah meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta bagi 2026 menggunakan penjimatan daripada peruntukan pembangunan kementerian lain bagi membolehkan tunggakan bayaran kepada kontraktor dijelaskan.

Beliau berkata kerajaan memahami masih banyak kampung di Sabah dan Sarawak yang menantikan kemudahan jalan raya lebih baik.

Sehubungan dengan itu, Belanjawan 2027 menyediakan RM2.27 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar manakala RM34.9 bilion diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak, iaitu jumlah tertinggi antara semua negeri.

Beliau turut mengingatkan supaya isu pembangunan di kedua-dua negeri itu tidak wajar dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak.

“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, peruntukan sahaja tidak mencukupi tanpa tadbir urus yang baik. Yang penting, projek dilaksanakan, kontraktor dibayar dan rakyat mendapat manfaat. Itulah keutamaan kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement