Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyertai kira-kira 1,000 jemaah mengerjakan solat hajat selepas solat Jumaat di Masjid Al Makmur, Kem Batu 10 di sini bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar musibah banjir berkurangan.

Solat hajat yang diimamkan Imam 3 Masjid Al Makmur Mohd Anuar Khazizi itu turut disertai Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mohd Anuar dalam khutbah Jumaat sebelum itu meminta umat Islam di negeri ini supaya reda dan tabah dalam menghadapi ujian ini lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang perlu membuat persiapan persekolahan anak mereka.

Beliau kemudian mengumumkan kutipan derma daripada orang ramai selepas solat Jumaat itu akan diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar daerah Kuantan.

Selesai menunaikan solat, Muhyiddin beredar ke Wisma Negeri di sini untuk mendengar taklimat banjir.

Di Kuching, solat hajat turut diadakan di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya sejurus selepas solat Jumaat, memohon kepada Ilahi agar banjir besar yang melanda beberapa negeri ketika ini segera pulih.

Dalam doanya, Imam Besar Masjid Negeri Datuk Joji Suhaili yang mengimamkan solat hajat itu turut menasihati orang ramai agar mengambil iktibar daripada bencana yang melanda, di samping mengukuhkan keimanan, dan sentiasa bersabar serta bersyukur dalam apa jua keadaan.

Terdahulu khutbah yang disampaikan oleh beliau turut menyuarakan rasa simpati kepada mangsa bencana, di samping bersyukur kerana Sarawak sehingga kini terhindar daripada sebarang musibah besar.

Di Seremban, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat bersama lebih 1,000 umat Islam di Masjid Negeri di sini bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

Turut bersama baginda, kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al'Abidin Tuanku Muhriz.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Selamat Paigo berkata solat hajat hari ini turut diadakan di semua masjid di negeri ini.

Di TERENGGANU, Masjid Abidin yang dikenali sebagai masjid putih di Kuala Terengganu turut mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan negara berikutan banjir besar.

Solat hajat itu yang diimamkan Imam Besar Negeri Terengganu Aizi Saidi Abdul Aziz disertai kira-kira 500 orang.

Solat hajat turut diadakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini yang diimamkan Ustaz Mohd Bukhari Muhammad dengan disertai kira-kira 1,500 orang.

Di akhir solat, semua jemaah mengaminkan doa agar mangsa banjir yang ditimpa musibah tabah menghadapi dugaan daripada Allah SWT.