KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merafak sembah tahniah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda.
Menerusi catatan di Facebook, Anwar turut mendoakan agar Sultan Sharafuddin terus dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan serta terus memayungi rakyat Selangor dengan adil dan saksama.
“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.
“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Baginda Tuanku terus dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan serta kekal qarar memayungi rakyat negeri Selangor dengan adil dan saksama. Daulat Tuanku, Dirgahayu Tuanku,” katanya.
-- BERNAMA