SIPITANG: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 1,001 koperasi baharu, didaftarkan di seluruh negara pada tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan koperasi, kerana pada tahun-tahun sebelum ini hanya sekitar antara 600 hingga 700 koperasi baharu didaftarkan dalam setahun.

"KUSKOP melalui SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), menganjurkan jelajah program memasyarakatkan koperasi sepanjang tahun lepas dan saya percaya ini telah menyumbang kepada kesedaran berkoperasi dalam kalangan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Koperasi Peringkat Daerah Sipitang di sini hari ini.

Ewon berkata beliau berharap agar koperasi baharu itu dapat menjalankan perniagaan dengan jayanya mengikut tata kelola perniagaan koperasi yang baik, menjaga kebajikan ahli dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Sementara itu, di Sabah data koperasi sehingga 30 Jun tahun lepas menunjukan koperasi berdaftar sebanyak 1,765 dengan kekuatan anggota seramai 361,126 orang, syer dan yuran terkumpul sebanyak RM244 juta, aset terkumpul RM868 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM329 juta.

Dalam pada itu, Ewon berkata projek tamu desa yang dilaksanakan bermula tahun ini, bertujuan memberi kemudahan infra kepada usahawan kecil luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata KUSKOP akan melaksanakan inisiatif tersebut melalui peruntukan yang telah diluluskan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan 2024.

"KUSKOP akan memastikan peruntukan ini dapat membantu membina kemudahan infra seperti gerai dan tamu usahawan kecil di luar bandar di Sabah dan Sarawak," katanya yang turut meluluskan peruntukan RM100,000 untuk pembinaan gerai tamu desa Koperasi Pusat Komuniti Lundayeh Sabah Berhad.

-- BERNAMA