Jualan ekuiti projek Bandar Malaysia kepada konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH)-China Railway Engineering Corporation Sdn Bhd (CREC) tidak mempunyai kaitan dengan kelulusan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang akan dibuat.

Menurut 1Malaysia Development Bhd (1MDB), walaupun Bandar Malaysia ditetapkan sebagai lokasi perhentian terakhir projek HSR, jualan ekuiti di Bandar Malaysia tidak ada kaitan dengan pemberian kelulusan projek HSR, atau 1MDB atau kerajaan Malaysia mempunyai representasi atau perjanjian membabitkannya.

"1MDB dan konsortium itu, kedua-duanya, mengesahkan HSR merupakan projek yang sama sekali berasingan," menurut 1MDB dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemberian kelulusan projek HSR akan ditentukan secara bersama-sama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura, mengikut setiap proses berasingan.

Proses berkenaan tidak akan dikaitkan atau boleh bergantung, dalam apa cara sekali pun, kepada jualan ekuiti 1MDB di projek Bandar Malaysia, menurutnya.

Minggu lepas, 1MDB menandatangani perjanjian jual beli saham dengan konsortium IWH-CREC untuk menjual 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia bagi RM7.41 bilion.