Ringkasan AI
- Selangor memperkukuh kapasiti bekalan air dan ekosistem pengurusan air bagi menyokong pelaburan baharu, khususnya sektor pusat data.
- Kira-kira 40 pusat data telah mendapat kelulusan di Selangor, dengan kestabilan bekalan air menjadi faktor utama tarikan pelaburan.
- Projek utama seperti Skim Bekalan Air Sungai Rasau dijangka menambah 700 juta liter sehari menjelang Jun 2027 untuk memperkukuh sistem bekalan air negeri.
KUALA LUMPUR: Selangor memperkukuh kapasiti bekalan air dan membangunkan ekosistem pengurusan air yang lebih mampan bagi menyokong kemasukan pelaburan baharu, khususnya sektor pusat data yang memerlukan penggunaan air dalam jumlah besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop berkata setakat ini kira-kira 40 pusat data telah mendapat kelulusan di Selangor menerusi kerajaan negeri dan Persekutuan, dengan kestabilan bekalan air menjadi antara faktor yang menarik pelaburan sektor berkenaan.
“Pusat data menggunakan banyak air. Sebab itu mereka datang ke Selangor kerana mereka tahu bekalan air kita stabil dan kita mempunyai margin sekitar 18 peratus,” katanya dalam program Investment Insider terbitan Astro AWANI pada Isnin.
Menurutnya, usaha meningkatkan kecekapan sistem bekalan air turut menyaksikan kadar air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) dikurangkan kepada sekitar 26.8 peratus, selain penggunaan teknologi meter pintar bagi meningkatkan ketepatan bacaan serta mengesan kebocoran paip.
Pada masa sama, Selangor membangunkan penyelesaian kitar semula air bagi mengurangkan kebergantungan sektor perindustrian terhadap bekalan air terawat konvensional.
“Secara automatik, kita dapat mengurangkan kebergantungan kilang terhadap Air Selangor untuk memenuhi 70 hingga 80 peratus keperluan mereka, dan air tersebut boleh digunakan bagi memenuhi keperluan lain termasuk pusat data,” katanya.
Keperluan meningkatkan jaminan bekalan air bukan agenda baharu bagi Selangor. Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021–2025 meletakkan pengurusan air sebagai antara bidang tumpuan negeri, termasuk usaha mengurangkan NRW, meningkatkan kecekapan penggunaan air, mengganti paip lama dan menambah sumber bekalan bagi memperkukuh daya tahan sistem.
Antara projek utama ialah Skim Bekalan Air Sungai Rasau yang disasarkan mempunyai kapasiti keseluruhan sehingga 1,400 juta liter sehari apabila siap sepenuhnya. Saipolyazan berkata peringkat pertama dijangka menambah 700 juta liter sehari kepada sistem bekalan air menjelang Jun 2027, manakala kapasiti penuh disasarkan menjelang 2030.
Agenda itu diteruskan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030, dengan MBI turut menyediakan infrastruktur lain bagi menghadapi pertumbuhan ekonomi digital, termasuk rancangan memperluas rangkaian gentian gelap (dark fibre) sehingga 889 kilometer di seluruh Selangor.
“Kita tidak mahu apabila pelabur tiba, tanah belum bersedia, infrastruktur belum bersedia dan bakat belum bersedia. Dengan membuat persediaan lebih awal, kita boleh menangani kekangan pada masa hadapan dan memastikan Selangor bersedia apabila keputusan pelaburan besar seterusnya dibuat,” katanya.
Saksikan Investment Insider setiap Isnin, 9 malam, di saluran 501 dan semua platform digital Astro AWANI, yang mengupas secara mendalam tentang strategi, insentif dan inisiatif pelaburan kerajaan negeri Selangor.
Investment Insider: Transforming Selangor's Growth Story
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah langkah yang diambil Selangor untuk memperkukuh bekalan air bagi menyokong pelaburan pusat data?
A: Selangor memperkukuh kapasiti bekalan air, membangunkan ekosistem pengurusan air mampan, mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), menggunakan teknologi meter pintar, dan membangunkan penyelesaian kitar semula air. - Q: Berapakah jumlah pusat data yang telah mendapat kelulusan di Selangor setakat ini?
A: Kira-kira 40 pusat data telah mendapat kelulusan di Selangor menerusi kerajaan negeri dan Persekutuan. - Q: Apakah margin bekalan air yang dimiliki Selangor dan mengapa ia penting untuk pelabur?
A: Selangor mempunyai margin bekalan air sekitar 18 peratus, yang menjadi faktor penarik utama pelabur sektor pusat data kerana kestabilan bekalan air. - Q: Apakah projek utama yang sedang dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan air di Selangor?
A: Projek utama ialah Skim Bekalan Air Sungai Rasau yang disasarkan mempunyai kapasiti sehingga 1,400 juta liter sehari apabila siap sepenuhnya, dengan fasa pertama menambah 700 juta liter sehari menjelang Jun 2027. - Q: Bagaimana Selangor mengurangkan kebergantungan sektor industri terhadap bekalan air terawat konvensional?
A: Selangor membangunkan penyelesaian kitar semula air yang membolehkan kilang memenuhi 70 hingga 80 peratus keperluan mereka tanpa bergantung sepenuhnya kepada Air Selangor.