KUALA LUMPUR: Sebanyak empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memeterai perjanjian langganan saham (SSA) membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

Menurut kenyataan DNB, Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd masing-masing memegang 12.5 peratus kepentingan manakala YTL Communications Sdn Bhd (YES) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) pula masing-masing sebanyak 20 peratus.

Baki 35 peratus akan dipegang oleh kerajaan yang juga pemegang saham khas yang memberi pelbagai hak dan kepentingan serta melibatkan aspek seperti pemilikan, penjualan atau pemindahan saham di pihak kerajaan.

DNB berkata, di bawah syarat-syarat SSA dan struktur tadbir urus yang dipersetujui oleh semua pihak, mana-mana MNO tunggal tidak boleh mempunyai pegangan melebihi 20 peratus dalam DNB dan sekiranya berlaku penggabungan antara MNO tersebut, entiti gabungan tidak boleh mempunyai pegangan melebihi 25 peratus.

"Ini merupakan suatu perkembangan positif susulan hasil perbincangan menyeluruh antara MNO dan DNB. MNO dijangka akan menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka bermula Oktober 2022," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pengerusi DNB Datuk Seri Asri Hamidon berkata setakat ini, rangkaian 5G tersebut telah mencapai liputan sebanyak 33 peratus di kawasan berpenduduk berbanding sasaran kira-kira 40 peratus liputan di kawasan berpenduduk negara menjelang akhir tahun ini.

"Fasa ujian dan integrasi tapak 5G oleh pihak MNO telah berjalan dengan baik dan saya yakin MNO juga sudah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan di kawasan yang tersedia infrastruktur berkaitan.

"Tambahan lagi, ekosistem 5G tempatan telah berkembang dengan pesat dengan 12 jenama peranti yang menawarkan lebih daripada 100 model sesuai dengan teknologi 5G bagi pengguna di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA