RAMALLAH: Institusi tahanan dan hak asasi manusia pada Ahad menyatakan Israel meningkatkan sasaran sistematik terhadap wartawan sebagai sebahagian daripada dasar lebih luas untuk membungkam suara Palestin dan memadam naratif rakyat Palestin, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Dalam laporan yang dikeluarkan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Persatuan Tahanan Palestin dan Persatuan Hak Asasi Manusia Al-Dameer berkata tindakan itu termasuk pembunuhan secara langsung, penahanan sewenang-wenangnya, gangguan sistematik dan ugutan, sekali gus menjadikannya antara tempoh paling berdarah dalam sejarah kewartawanan Palestin.
Advertisement
Institusi berkenaan berkata sejak bermulanya serangan Israel di Semenanjung Gaza, lebih 260 wartawan terbunuh manakala lebih 240 lagi ditahan, dengan lebih 40 masih berada dalam tahanan.
Mereka memaklumkan bahawa antara yang ditahan ialah 20 wartawan yang ditempatkan di bawah tahanan pentadbiran tanpa pertuduhan atau perbicaraan berdasarkan “fail rahsia”, termasuk empat wartawan wanita.
Mereka mengenal pasti tahanan terbaharu Islam Amarneh, yang ditahan dari kem pelarian Dheisheh di Bethlehem, sebagai sebahagian daripada pola berterusan sasaran terhadap wartawan, sambil menyatakan beliau ialah adik kepada seorang lagi wartawan yang turut ditahan di bawah tahanan pentadbiran.
Mereka menambah sekurang-kurangnya 14 wartawan dari Gaza masih ditahan, manakala dua lagi -- Nidal al-Wahidi dan Haitham Abdel Wahed -- masih hilang secara paksa, dalam pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Laporan itu turut merujuk kematian wartawan Marwan Harzallah pada Mac 2026 di dalam penjara Megiddo, dengan menyatakan beliau meninggal dunia akibat dasar pengabaian rawatan perubatan walaupun keadaan kesihatannya diketahui umum, termasuk kecederaan terdahulu yang menyebabkan satu daripada kakinya dipotong.
Institusi itu turut merujuk kes tahanan rumah secara paksa, termasuk melibatkan wartawan Sumayya Jawabreh dan Bayan al-Ju’ba, selain larangan dan sekatan sistematik terhadap wartawan di Baitulmuqaddis, khususnya di sekitar Masjid Al-Aqsa, termasuk pengusiran paksa, larangan membuat liputan, gangguan dan intimidasi.
Mereka berkata sasaran terhadap wartawan adalah sebahagian daripada dasar berterusan terhadap naratif Palestin yang semakin meningkat sejak serangan Israel di Semenanjung Gaza, memandangkan wartawan memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan dan mendedahkan perkembangan kepada dunia.
Laporan itu turut merekodkan testimoni wartawan yang ditahan mengenai kempen penyeksaan sistematik di dalam penjara dan pusat tahanan Israel, termasuk penderaan fizikal dan psikologi, kebuluran, keganasan seksual, penghinaan, penafian rawatan perubatan serta keadaan tahanan yang keras termasuk pengasingan dan penafian lawatan Palang Merah.
Ia juga menekankan kemerosotan kesihatan wartawan yang dibebaskan, termasuk Majed Bani Muflih yang mengalami pendarahan otak selepas dibebaskan, dan Ali al-Sammoudi yang kehilangan kira-kira 60 kilogram berat badan sepanjang setahun berada dalam tahanan pentadbiran.
Institusi berkenaan menegaskan bahawa sasaran terhadap wartawan melalui pembunuhan, penahanan atau kehilangan secara paksa melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa termasuk Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat serta Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, selain perlindungan yang diberikan di bawah Konvensyen Geneva.
Mereka menambah tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di bawah Statut Rom sekiranya dilakukan sebagai sebahagian daripada serangan meluas atau sistematik terhadap orang awam.
-- BERNAMA-WAFA