ISTANBUL: Aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 menegaskan tidak akan pulang ke Kuala Lumpur namun bertekad meneruskan misi pelayaran ke Gaza.
Bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad berkata, walaupun menerima layanan yang teruk di atas kapal ketika ditahan oleh tentera Israel, mereka tetap konsisten untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan itu.
Advertisement
“Kami konsisten, singgah di Istanbul bukan untuk kembali ke Kuala Lumpur, tapi meneruskan pelayaran daripada Istanbul menuju ke Gaza,” katanya menerusi klip rakaman yang disiarkan hari ini.
Difahamkan, klip tersebut dirakam ketika beliau tiba di Istanbul semalam, selepas ditahan bersama 10 delegasi Malaysia dan 186 aktivis lain pada 30 April di perairan antarabangsa berhampiran Pulau Crete, Greece.
Pada masa sama, beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersatu dalam soal Gaza dan sentiasa mengingati Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Zainal turut meminta agar Kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan kepada Israel untuk mendesak pembebasan Saif Abu Keshek dan Thiago Avila yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu GSF.
“Saif ditahan dan kemungkinan dikenakan hukuman gantung jika tidak diberi pembelaan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah rejim di Ashkelon turut melanjutkan tempoh reman Saif dan Avila selama dua hari.
Peguam Pusat Undang-undang Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH), Hadeel Abu Saleh memaklumkan sebelum ini pihak berkuasa rejim iaitu Shin Bet telah memohon reman selama empat hari atas beberapa pertuduhan serius.
Ini termasuk dakwaan membantu musuh ketika perang, berhubung dengan ejen asing, serta menjadi ahli dan memberikan perkhidmatan kepada organisasi pengganas.
Hadeel turut memaklumkan bahawa kedua-dua mereka menjadi mangsa penderaan serta layanan ganas oleh tentera laut rejim ketika bot mereka diserang.
“Tangan mereka diikat, mata mereka ditutup sepanjang ditahan sehingga mereka dipindahkan ke penjara Israel,” katanya.