MANILA: Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. mengarahkan tindak balas menyeluruh kerajaan bagi membantu komuniti yang terjejas akibat hujan abu susulan aktiviti berterusan Gunung Berapi Mayon di wilayah Albay, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Malacanang memaklumkan arahan itu merangkumi mobilisasi segera agensi utama bagi melindungi kesihatan awam, memastikan keselamatan serta mengekalkan akses kepada perkhidmatan penting di kawasan terjejas, khususnya di perbandaran Guinobatan dan Camalig.
Advertisement
Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya memulakan operasi pembersihan bagi mengalihkan abu gunung berapi dari jalan utama bagi memastikan laluan selamat kepada penduduk dan pasukan penyelamat.
Jabatan Kesihatan mula mengagihkan pelitup muka N95 serta mengerahkan klinik bergerak dan stesen air bagi menangani penyakit pernafasan termasuk batuk, kesukaran bernafas dan kerengsaan mata akibat hujan abu.
Melalui Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, anggota Biro Perlindungan Kebakaran dikerahkan bagi menjalankan operasi semburan air dan pembersihan abu.
Usaha pemindahan dilaksanakan di bawah Pejabat Pertahanan Awam dan Majlis Pengurangan Risiko Bencana dan Pengurusan Negara, dengan pihak berkuasa memantau rapi zon berisiko tinggi di sekitar gunung berapi itu.
Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan menempatkan lebih awal ribuan pek makanan, makanan sedia dimakan dan bekalan bantuan lain untuk keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan di seluruh Wilayah Bicol.
Pihak berkuasa turut memantau sungai dan laluan air bagi kemungkinan aliran lahar, khususnya sekiranya hujan lebat berlaku.
Gunung Berapi Mayon, antara gunung berapi paling aktif di negara itu, terkenal dengan bentuk kon hampir sempurna namun mempunyai sejarah letusan mengejut yang boleh mencetuskan hujan abu, aliran lava dan aliran lumpur berbahaya.
Gunung berapi itu terus menunjukkan tanda peningkatan aktiviti magmatik dengan 32 gempa gunung berapi direkodkan pada Sabtu, termasuk 25 gegaran gunung berapi yang berlangsung antara dua hingga 15 minit, menjejaskan sekurang-kurangnya 50 kampung dari pelbagai bandar di Albay.
Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya berada di dalam rumah, memakai pelitup muka perlindungan dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan ketika keadaan masih dipantau rapi.
-- BERNAMA-PNA