SHAH ALAM: Kaji selidik dilakukan Pusat Penyelidikan Undian UCSI University mendapati 66 peratus rakyat Malaysia menentang kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menurut badan penyelidikan itu, ia melibatkan seramai 1,007 responden dengan 13 peratus daripadanya menyokong dan 21 peratus memberi reaksi neutral terhadap isu berkenaan.

"Berdasarkan keputusan tinjauan, 71 peratus bersetuju bahawa kerajaan memberikan sebab yang sesuai untuk kenaikan cukai, 24 peratus tidak bersetuju dengan kenaikan ini, dan lima peratus tidak pasti.

"Selain itu, sebanyak 55 peratus memberikan respons negatif terhadap kenaikan SST, 24 peratus berpendapat ia tidak memberikan sebarang kesan, 16 peratus memberikan respon positif, dan lima peratus tidak pasti mengenai kesan cukai ini terhadap kewangan peribadi mereka," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut katanya, walaupun 71 peratus responden dapat menerima sebab kerajaan menaikkan cukai, namun terdapat segelintir yang menyuarakan keraguan dan rasa tidak senang terhadap kenaikan itu.

"Kebanyakan responden menunjukkan kebimbangan tentang kemungkinan bahaya kepada kewangan peribadi mereka dengan menjangkakan lebih banyak kesan negatif berbanding positif.

"Kesimpulannya, penggubal undang-undang harus memainkan peranan untuk meredakan kebimbangan orang ramai dan menjamin akauntabiliti serta keterbukaan dalam penggubalan dasar cukai," jelasnya.

Terdahulu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengumumkan kenaikan SST daripada enam peratus kepada lapan peratus bermula Mac 2024. - Sinar Harian