Ringkasan AI
- Syarikat penerbangan terus terjejas akibat kenaikan harga bahan api sekitar 90 peratus susulan konflik Asia Barat, menekan margin keuntungan industri.
- Malaysia Aviation Group meningkatkan purata tambang 20 hingga 30 peratus, namun langkah itu masih tidak menampung sepenuhnya kos bahan api yang meningkat.
- Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 MAG diteruskan sehingga 2030, menyasarkan pendapatan kasar melebihi RM24 bilion dan pertumbuhan berdisiplin.
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan terus terjejas susulan peningkatan mendadak harga bahan api ekoran konflik Asia Barat, dengan tekanan kos operasi dijangka berterusan sehingga 2027.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A Bakar berkata kenaikan harga bahan api sekitar 90 peratus itu menyebabkan margin keuntungan syarikat penerbangan yang lazimnya berada antara dua hingga tiga peratus menyusut kepada kurang satu peratus tahun ini.
“Dengan harga minyak yang tinggi, sekarang ini lebih kurang 90 peratus lebih tinggi daripada sebelum perang.
"Saya boleh katakan, bagi pihak syarikat penerbangan saya, kami telah meningkatkan purata tambang sekitar 20 hingga 30 peratus.
"Langkah ini boleh dilaksanakan sama ada melalui pengenaan surcaj bahan api atau pelarasan tambang bagi menyerap sebahagian kesan kenaikan harga bahan api," katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) ke-70, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Nasaruddin menjelaskan, kenaikan tambang berkenaan masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan peningkatan kos bahan api yang ditanggung syarikat penerbangan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan margin keuntungan industri penerbangan merosot lebih separuh berbanding paras kebiasaan.
"Syarikat penerbangan tidak dapat menampung semula sebahagian caj kos menerusi tambang yang dikenakan kepada penumpang.
"Kebiasaannya margin kita berada pada paras dua hingga tiga peratus, namun pada 2026 disebabkan faktor harga minyak, margin hanya tinggal sedikit di bawah satu peratus.
"Justeru, saya menjangkakan semua syarikat penerbangan yang menggunakan bahan api fosil terkesan akibat kenaikan harga ini," katanya.
Mengulas prospek tambang penerbangan pada 2027, beliau berkata syarikat penerbangan menggunakan pendekatan penetapan harga dinamik (dynamic pricing) bagi menentukan kadar tambang berdasarkan keadaan semasa.
Menurutnya, harga bahan api dijangka kekal tinggi pada tahun depan, sekali gus menyebabkan tambang yang ditawarkan sepanjang 2026 berkemungkinan berterusan sehingga 2027.
Dalam pada itu, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik, Nasaruddin menegaskan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) MAG sehingga 2030 masih diteruskan seperti dirancang.
Untuk rekod, MAG menyasarkan pendapatan kasar melebihi RM24 bilion menerusi LTBP 3.0, sekali gus menandakan peralihan kumpulan daripada fasa pemulihan kepada fasa pengembangan dan pertumbuhan seterusnya.
Pelan bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan berskala dan berdisiplin, selain menetapkan sasaran kewangan serta operasi yang jelas merentasi keseluruhan ekosistem penerbangan kumpulan.
LTBP3.0 dibangunkan berdasarkan momentum pelan terdahulu, LTBP2.0, yang diperkenalkan pada 2020 ketika MAG melaksanakan penstrukturan kewangan menyeluruh melibatkan pengurangan liabiliti melebihi RM15 bilion serta penghapusan hutang legasi berjumlah RM10 bilion.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah punca utama syarikat penerbangan terjejas menurut MAG?
A: Syarikat penerbangan terjejas akibat peningkatan mendadak harga bahan api ekoran konflik Asia Barat, yang menyebabkan tekanan kos operasi berterusan sehingga 2027. - Q: Berapakah kadar kenaikan harga bahan api yang dinyatakan oleh MAG?
A: Harga bahan api meningkat sekitar 90 peratus berbanding sebelum konflik berlaku. - Q: Bagaimana syarikat penerbangan menangani kenaikan kos bahan api?
A: Syarikat penerbangan telah meningkatkan purata tambang sekitar 20 hingga 30 peratus melalui pengenaan surcaj bahan api atau pelarasan tambang, namun langkah ini masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan peningkatan kos bahan api. - Q: Apakah kesan kenaikan harga bahan api terhadap margin keuntungan syarikat penerbangan?
A: Margin keuntungan syarikat penerbangan yang biasanya antara dua hingga tiga peratus telah menyusut kepada kurang satu peratus pada tahun ini dan dijangka kekal rendah sehingga 2026. - Q: Apakah sasaran utama Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) MAG?
A: LTBP3.0 menyasarkan pendapatan kasar melebihi RM24 bilion menjelang 2030 dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan berskala serta penetapan sasaran kewangan dan operasi yang jelas untuk keseluruhan ekosistem penerbangan kumpulan.