SEBAGAI Naib Canselor sebuah universiti yang 90 peratus pelajarnya terdiri daripada anak-anak asnaf, saya cukup terkesan membaca laporan mengenai kutipan sumbangan untuk membayar denda RM50 juta Datuk Seri Najib Razak. Dalam fikiran saya, terbayang anak-anak miskin yang memerlukan bantuan untuk meneruskan pengajian serta ibu bapa yang menaruh harapan agar kejayaan seorang anak dapat mengubah nasib seluruh keluarga.
Pada 6 November lalu, pembayaran denda berkenaan dilaporkan selesai. UMNO turut mengumumkan penutupan akaun Tabung Solidariti Najib Razak setelah kutipan mencapai sasaran. Keupayaan menggerakkan dana sebesar itu memperlihatkan betapa kuatnya sokongan terhadap seorang tokoh politik. Namun, sebagai pendidik, saya tertanya-tanya: mampukah kesungguhan yang sama digerakkan untuk anak-anak miskin yang sedang berjuang membina masa depan?
Pertanyaan ini menjadi lebih mendesak apabila bantuan tersebut diberikan bagi melunaskan denda atas kesalahan yang telah disabitkan oleh mahkamah. Dalam kes SRC International, Najib disabitkan atas tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan dana. Sabitan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Denda asal RM210 juta kemudian dikurangkan kepada RM50 juta melalui keputusan pengampunan pada 2024. Oleh itu, perbahasan ini mesti berpaksi pada hakikat bahawa berlakunya pembuktian kesalahan yang melalui semua proses dan peringkat mahkamah.
Rasuah, pecah amanah dan penyelewengan harta awam merupakan pengkhianatan besar terhadap kepercayaan rakyat. Istilah “sakau” yang digunakan dalam percakapan politik mencerminkan kemarahan terhadap perbuatan mengambil atau menyalahgunakan sesuatu yang bukan hak sendiri. Di sebalik istilah itu terdapat kerosakan yang nyata: wang diselewengkan, institusi kehilangan kewibawaan dan rakyat mula meragui kejujuran mereka yang diberi kuasa.
Dalam bab rasuah dan salah guna kuasa pemimpin, golongan miskinlah yang paling terkesan. Setiap aapah guna kuasa, rasuah, pembaziran dan ketirisan mengecilkan kemampuan negara untuk memenuhi keperluan golongan tersebut. Sebab itulah rasuah mesti dibicarakan sebagai persoalan keadilan sosial. Apabila amanah awam dikhianati, yang terjejas termasuklah rakyat yang tidak mengenali pelakunya dan tidak mempunyai pengaruh untuk menuntut pembelaan.
Dalam hubungan ini, kenyataan Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa orang Islam yang membantu membayar RM50 juta bagi pihak Najib memperoleh pahala wajar dikritik. Menurut laporan media, beliau menjelaskan bahawa bantuan itu bukan sokongan terhadap perbuatan “sakau”, sebaliknya sokongan terhadap sistem pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang disifatkannya diiktiraf syarak. Beliau turut menyatakan bahawa usaha memudahkan Najib memperoleh hak yang dibenarkan adalah berpahala.
Saya memahami perbezaan yang cuba dibuat antara membantu seseorang dengan menyokong kesalahannya. Namun, menyifatkan bantuan tersebut sebagai berpahala secara umum, tanpa menghuraikan syarat dan pertimbangan moralnya, ialah kenyataan yang terlalu mudah bagi persoalan sebesar ini. Menghormati institusi pengampunan YDPA adalah berperlembagaan dan satu kemestian untuk ditaati. Namun, persoalan hukum dosa-pahala dan akhlak setiap kempen kutipan dana yang dikaitkan dengannya perlu dibuat dengan lebih bertanggungjawab dan penuh rasa takwa- Ittaqullah.
Perlu dibezakan antara hak seseorang memperoleh pertimbangan undang-undang, keharusan pihak lain menghulurkan bantuan dan penilaian bahawa bantuan tertentu merupakan amalan berpahala. Ketiga-tiganya memerlukan penelitian. Apatah lagi apabila perkara yang dibicarakan melibatkan penyelewengan dana dan amanah awam.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, dalam penjelasan Al-Kafi #2012 mengenai kutipan derma bagi pembayaran denda, menegaskan bahawa bantuan mempunyai batas. Dalam konteks soalan mengenai ganti rugi saman fitnah, penjelasan itu mengaitkan keharusan bantuan dengan keinsafan pesalah dan ketiadaan tujuan menyokong atau menggalakkan kesalahan. Bantuan yang mendorong pengulangan kesalahan pula dilarang. Penjelasan tersebut bukan fatwa khusus mengenai Najib, tetapi menunjukkan bahawa soal membantu membayar tanggungan seseorang tidak boleh dipisahkan daripada tujuan dan kesannya.
Oleh itu, persoalannya bukan sekadar sama ada wang disumbangkan dengan niat membantu. Kita juga perlu bertanya apakah pengajaran yang dibawa oleh kempen tersebut kepada masyarakat. Adakah ia mengekalkan kesedaran tentang beratnya pengkhianatan amanah, atau menjadikan kesalahan itu kelihatan kecil kerana pesalah masih mempunyai penyokong yang sanggup menanggung akibat kewangannya?
Saya tidak mendakwa mengetahui isi hati penyumbang atau menentukan kedudukan mereka di sisi Allah. Namun, kenyataan seorang tokoh agama tentang pahala ialah kenyataan awam yang mesti boleh diteliti dan dipersoalkan. Kedudukan agama seseorang tidak menjadikan pandangan politiknya kebal daripada kritikan.
Pada hemat saya, kenyataan seperti ini memalukan apabila menyebabkan Islam kelihatan begitu mudah digunakan untuk memberikan pembenaran agama kepada pembelaan seorang tokoh politik. Di mata masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa soal amanah menjadi kurang penting apabila pelakunya datang daripada kelompok sendiri. Tanggapan sedemikian merugikan agama dan bangsa, sedangkan Islam menuntut keadilan yang jauh lebih tegas.
Islam tidak mengajar umatnya meremehkan rasuah, menghalalkan pengkhianatan atau menjadikan kesetiaan kepada pemimpin sebagai alasan mengetepikan pertanggungjawaban. Belas kasihan mempunyai tempat dalam agama, begitu juga taubat dan pengampunan. Namun, semuanya tidak boleh dipisahkan daripada tuntutan keadilan dan hak mereka yang terjejas.
Peringatan Rasulullah SAW tentang keadilan yang memilih bulu amat jelas. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Baginda mengingatkan, yang bermaksud:
“Sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana mereka menghukum golongan lemah, tetapi membiarkan golongan berkedudukan.”
Hadis ini diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari, no. 6787. Golongan yang dimaksudkan merangkumi mereka yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan sosial. Dalam riwayat berkaitan, Baginda turut menegaskan bahawa hubungan kekeluargaan dengan Baginda sendiri tidak mengecualikan seseorang daripada hukuman. Konteks hadis tersebut ialah cubaan mendapatkan pengecualian hukuman bagi seorang wanita daripada keluarga ternama yang melakukan pencurian. Ia tidak boleh disamakan secara langsung dengan setiap persoalan denda atau pengampunan dalam sistem undang-undang hari ini. Namun, pengajaran moralnya amat terang: sesebuah masyarakat mengundang kerosakan apabila kedudukan seseorang menentukan sejauh mana kesalahannya dipandang serius.
Peringatan ini sepatutnya mendasari percakapan tokoh agama tentang pemimpin yang disabitkan kesalahan. Masyarakat perlu diingatkan tentang bahaya keistimewaan golongan berpengaruh, di samping diberikan penjelasan tentang belas kasihan. Jika bahasa pahala begitu mudah digunakan untuk menggalakkan pembelaan, tetapi tuntutan amanah kurang ditekankan, gambaran agama yang sampai kepada masyarakat menjadi tempang.
Begitu juga dengan maruah Melayu. Budaya menyanjung pemimpin tanpa menghiraukan benar atau salah bukanlah ukuran kemelayuan yang sejati. Budi, malu, amanah dan harga diri sepatutnya mendorong orang Melayu menolak pengkhianatan, bukannya mencari alasan untuk melindunginya.
Ungkapan “Melayu tulen” wajar difahami melalui penghayatan nilai, bukan keturunan atau dakwaan bahawa sesuatu kaum bebas daripada kelemahan. Orang Melayu yang memelihara adab dan maruah bangsanya tentu tidak mahu penyelewengan dijadikan kebiasaan. Membela bangsa bererti menjaga kepentingan masyarakatnya, termasuk anak-anak miskin yang menanggung akibat kelemahan pentadbiran.
Rasuah tidak menjadi halal kerana pelakunya seagama. Pecah amanah tidak menjadi lebih ringan kerana pelakunya sebangsa. Kemuliaan bangsa dipertahankan apabila masyarakatnya berani menegakkan ukuran yang sama terhadap semua orang.
Di sinilah kita perlu mengakui bahawa bahaya kepada negara bukan hanya datang daripada pemimpin yang korup, tetapi juga daripada rakyat yang terus memilih dan menyokong pemimpin korup dengan membenarkan kesalahannya.
Tanggungjawab jenayah tetap terletak pada pelaku. Namun, budaya politik yang memaafkan segala-galanya atas nama kesetiaan boleh menyediakan ruang untuk pengkhianatan berulang. Apabila pemimpin mengetahui bahawa penyokong akan terus mempertahankannya walau apa pun yang dilakukan, sokongan rakyat kehilangan fungsinya sebagai kawalan terhadap kuasa.
Seorang pemimpin mungkin menerima hukuman mahkamah, tetapi pengajaran kepada masyarakat menjadi lemah apabila kesalahannya terus dikecilkan. Lebih buruk apabila orang yang menegur dianggap mengkhianati parti, bangsa atau agama. Akhirnya, mereka yang menuntut kejujuran dipersalahkan, sedangkan pembela salah laku dipuji kerana setia.
Demokrasi memerlukan rakyat yang berani menilai semula sokongan apabila amanah dikhianati. Undi ialah penyerahan kuasa untuk mengurus wang rakyat, pendidikan, pekerjaan dan masa depan negara. Menarik sokongan daripada pemimpin yang terbukti mengkhianati kepercayaan merupakan tindakan yang bertanggungjawab.
Jasa masa lalu juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kesalahan. Membina jalan, menyediakan bantuan dan melaksanakan pembangunan ialah tanggungjawab pemimpin yang diberi kuasa. Rakyat boleh mengenang jasa seseorang sambil tetap menuntut pertanggungjawaban atas penyelewengannya.
Begitu juga dengan alasan bahawa semua ahli politik melakukan rasuah. Anggapan ini hanya merendahkan harapan masyarakat terhadap kepimpinan. Apabila kejujuran tidak lagi dianggap syarat utama, ruang bagi pemimpin berintegriti turut mengecil. Negara kemudian terperangkap dalam persaingan memberikan habuan, sementara persoalan amanah semakin dipinggirkan.
Sebagai pendidik, saya bimbang tentang pengajaran yang diterima generasi muda. Di universiti, mahasiswa diajar supaya jujur dalam peperiksaan, tidak menciplak dan bertanggungjawab atas perbuatan sendiri. Pendidikan itu menjadi sukar apabila masyarakat menggunakan ukuran yang berlainan terhadap orang berpengaruh.
Anak muda memerhatikan siapa yang dihormati, siapa yang dibela dan kesalahan siapa yang mudah dilupakan. Jika penipuan kecil dikecam tetapi pengkhianatan besar dipertahankan kerana nama dan kedudukan pelakunya, kita sedang merosakkan pendidikan akhlak yang mahu dibina. Islam mesti ditampilkan melalui keadilan, amanah dan pembelaan terhadap mereka yang lemah. Maruah Melayu pula mesti dipelihara melalui keberanian menolak pengkhianatan, termasuk apabila pelakunya daripada kalangan sendiri. Kedua-duanya menuntut keteguhan prinsip daripada pemimpin dan rakyat.
Anak-anak asnaf yang saya bimbing di universiti hari ini akan mewarisi negara yang dibentuk oleh pilihan kita. Mereka berhak mewarisi sebuah negara yang menghargai kejujuran dan tidak memberikan keistimewaan moral kepada orang berpengaruh yang korup. Jangan sampai kita begitu murah hati membantu membebaskan seorang pemimpin yang salah, tetapi terlalu berkira untuk membantu anak-anak miskin membina masa depan mereka.
* Penulis merupakan Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP).
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.