Skip to main content

Malaysia

Polis kesan suspek gantung kucing di luar tingkap kenderaan

Tangkap layar tular menunjukkan seekor kucing diikat dan digantung. -Foto Sinar Harian
Tangkap layar tular menunjukkan seekor kucing diikat dan digantung. -Foto Sinar Harian
Advertisement

KLUANG: Polis sedang mengesan seorang individu yang disyaki mengikat leher seekor kucing menggunakan tali sebelum menggantung haiwan itu di luar tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Batu 2, Jalan Mersing di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kejadian itu dikesan susulan penularan video berdurasi tujuh saat yang dimuat naik di laman Facebook This Is Johor kira-kira 6.30 petang semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda berkenaan bertindak mengikat leher kucing itu dengan tali sebelum menggantungnya di luar tingkap kenderaan.

Advertisement

“Berikutan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Beliau berkata siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerusi talian 07-7784222 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement