KUALA LUMPUR: Gabungan 112 persatuan perdagangan dan perniagaan tempatan yang mewakili 3.3 juta entiti perniagaan dikenali sebagai ‘Industries Unite’ meminta lebih banyak bantuan kewangan disalurkan bagi membantu anggotanya yang disifatkan 'parah' untuk stabil dan pulih.

Antara bantuan yang dipohon melibatkan pengurangan bil elektrik bagi premis komersil serta penangguhan enam bulan caruman mandatori seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kumpulan berkenaan juga merayu agar moratorium automatik untuk perniagaan dan individu secara opt-out, serta pelepasan sewa premis perniagaan

Pada masa sama, kumpulan berkenaan juga mendesak agar Bank Negara Malaysia (BNM) memberi penjelasan mengenai data yang pernah dikemukakan berhubung kemampuan 85 peratus peminjam membuat pembayaran setelah moratorium penuh berakhir September lalu.

Jelas pengasas bersama kumpulan berkenaan, Datuk David Gurupatham, angka berkenaan tidak konsisten dengan perkara sebenar yang dilaporkan semua 3.3 juta perniagaan yang bernaung di bawah kumpulan itu.

“Sebanyak 80 peratus ahli-ahli kami tidak lagi boleh bertahan dan memenuhi kewajipan kewangan mereka.

“40 peratus sudah gulung tikar dan 20 peratus lagi boleh tutup dalam tempoh beberapa bulan,” tegasnya menerusi satu penstriman di media sosial pada Sabtu.

Tegas beliau lagi, sektor perniagaan tidak akan mampu bertahan jika sekatan yang dilaksanakan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini diteruskan sehingga hujung tahun.