KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Khamis mengumumkan pelantikan Tan Sri Abu Samah Nordin sebagai pengerusi bukan eksekutif Lembaga Pemantauan Audit (AOB) suruhanjaya itu berkuat kuasa pada 5 Jan, 2024.

Dalam kenyataannya, SC berkata Abu Samah menggantikan Datuk Anantham Kasinather yang telah menamatkan penggal tiga tahunnya pada 30 Nov, 2023.

Abu Samah berpengalaman lebih 40 tahun dalam pelbagai kapasiti di agensi kerajaan dan perkhidmatan kehakiman, termasuk sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Bahagian Komersial Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1994, sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Komersial pada 1996.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Kuantan, Shah Alam serta Melaka antara 1997 dan 2003 dan seterusnya Hakim di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2007.

Pada tahun sama, Abu Samah dinaikkan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 2013 sebelum bersara pada 2018.

"Latar belakang dan pengalaman beliau akan meningkatkan lagi keberkesanan peranan pengawasan AOB dan memupuk kepercayaan terhadap kualiti penyata kewangan yang telah diaudit di Malaysia," kata SC.

-- BERNAMA