SINTOK, KEDAH: Memilih bidang pengajian dan institusi pendidikan tinggi bukan sekadar berdasarkan minat, sebaliknya perlu mengambil kira potensi diri, kemampuan keluarga serta prospek kerjaya selepas tamat pengajian.
Menyedari cabaran itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) membangunkan EDUMI.my, sebuah platform pendidikan digital berteraskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pelajar dan ibu bapa membuat keputusan lebih tepat dalam merancang laluan pendidikan.
Platform itu dibangunkan menerusi EDUMI Sdn. Bhd., syarikat terbitan UUM yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan panduan pendidikan, perundingan kemasukan serta penempatan pelajar ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan UUM, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Jaafar, berkata pendekatan pembangunan EDUMI.my memberi penekanan kepada kepentingan menyelaraskan pilihan pendidikan dengan potensi individu serta keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
"Menerusi konsep Education vs Market Fit, platform itu berusaha menghubungkan minat, kebolehan dan kecenderungan pelajar dengan bidang pengajian yang mempunyai prospek kerjaya bersesuaian.
"Pendekatan berkenaan penting bagi mengelakkan pelajar membuat pilihan pengajian secara terburu-buru atau sekadar mengikut trend semasa tanpa memahami kesesuaian bidang berkenaan dengan peluang pekerjaan pada masa hadapan.
"Menerusi EDUMI.my, pelajar dan ibu bapa boleh mendapatkan panduan mengenai laluan pendidikan, pemadanan program pengajian serta pemilihan institusi yang bersesuaian dengan kelayakan dan matlamat pendidikan masing-masing," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Lebih menarik, penggunaan teknologi AI turut menyokong proses pemadanan berkenaan dengan membantu pengguna mengenal pasti pilihan pengajian berdasarkan maklumat dan keperluan yang dikemukakan.
Abdul Rahman berkata, selain khidmat nasihat pemilihan program, platform itu turut menawarkan sokongan berkaitan permohonan kemasukan universiti, pembiayaan pendidikan, persediaan sebelum berlepas serta bantuan penempatan pelajar di negara destinasi.
"Inisiatif itu juga membuka peluang kepada pelajar meneroka pilihan pengajian antarabangsa, termasuk di Ireland dan United Kingdom, selain pilihan institusi pendidikan tinggi dalam negara," ujarnya.
Pembangunan EDUMI.my memperlihatkan bagaimana kepakaran akademik universiti boleh diterjemahkan kepada penyelesaian digital yang mempunyai nilai komersial, sekali gus membantu masyarakat mendapatkan akses kepada maklumat dan khidmat nasihat pendidikan secara lebih tersusun.
Usaha berkenaan turut mengetengahkan peranan universiti awam bukan sahaja sebagai pusat pengajaran dan penyelidikan, malah sebagai pemangkin pembangunan inovasi yang mampu memenuhi keperluan industri serta masyarakat.
Inovasi EDUMI.my turut diketengahkan menerusi Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung dari 17 hingga 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Penganjuran itu menjadi platform untuk memperkenalkan hasil penyelidikan dan inovasi institusi pendidikan tinggi kepada masyarakat, sekali gus membuktikan bagaimana teknologi dan kepakaran universiti mampu membantu rakyat membuat keputusan pendidikan yang lebih tepat dan berpandangan jauh.