KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) meletakkan kepelbagaian kaum dan integriti calon sebagai antara kekuatan utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga pengerusi PH berkata, ketika sentimen perkauman dilihat menjadi antara cabaran dalam persaingan politik negeri berkenaan, PH memilih pendekatan merangkul kekuatan masyarakat Melayu, Cina dan India dengan mengetengahkan calon yang berwibawa, bersih serta beramanah bagi membawa suara rakyat dan memikul tanggungjawab memajukan Melaka.
“Justeru, dengan penuh rasa insaf dan rendah hati, saya memohon agar rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada pasukan HARAPAN yang menawarkan kerja keras, kepimpinan berintegriti serta pencapaian yang telah terbukti untuk membela rakyat dan memajukan negeri,” kata beliau menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Beliau turut menzahirkan harapan supaya pengundi dapat membuat pilihan dengan pertimbangan yang baik serta mendoakan PH diberikan kekuatan untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Semoga Allah SWT menerangi sanubari saudara dan saudari dalam membuat pilihan, serta memberikan kekuatan kepada HARAPAN untuk berbakti sebaik-baiknya,” kata beliau.
PRN Melaka ke-16 pada 14 Nov ini menyaksikan 79 calon bersaing merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan PH mempertaruhkan 24 calon dalam pilihan raya berkenaan.
-- BERNAMA