Skip to main content

Bisnes

AHB kekalkan agihan pendapatan lima sen seunit bagi tahun kewangan 2026

Dengan mengambil kira agihan pendapatan interim sebanyak 2.5 sen seunit yang diisytiharkan pada April 2026, jumlah keseluruhan agihan pendapatan AHB bagi tahun kewangan berakhir 2026 adalah lima sen seunit. - Foto FB PHB-Pelaburan Hartanah Berhad
Dengan mengambil kira agihan pendapatan interim sebanyak 2.5 sen seunit yang diisytiharkan pada April 2026, jumlah keseluruhan agihan pendapatan AHB bagi tahun kewangan berakhir 2026 adalah lima sen seunit. - Foto FB PHB-Pelaburan Hartanah Berhad

Advertisement

KUALA LUMPUR: Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) mengekalkan agihan pendapatan sebanyak lima sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept 2026, yang memberi manfaat kepada lebih 82,000 pemegang unit.

Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) bersama pengurus dananya, PHB Asset Management Bhd (PHBAM), berkata agihan pendapatan akhir bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Sept 2026 adalah sebanyak 2.1 sen seunit, dengan tambahan agihan bonus sebanyak 0.4 sen seunit yang diisytiharkan PHB selaku penaja dana itu.

“Edaran bonus itu akan diberikan bagi 1,000,000 unit pertama bagi setiap pemegang unit. Dengan mengambil kira agihan pendapatan interim sebanyak 2.5 sen seunit yang diisytiharkan pada April 2026, jumlah keseluruhan agihan pendapatan AHB bagi tahun kewangan berakhir 2026 adalah lima sen seunit,” menurut kenyataan itu.

PHB berkata sebanyak RM120.13 juta akan diagihkan pada pusingan akhir, menjadikan jumlah  keseluruhan agihan tahunan sebanyak RM236.41 juta.

Pengarah Urusan kumpulan PHB Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata agihan pendapatan bagi setahun penuh itu mencerminkan daya tahan AHB yang berterusan serta kekuatan portfolio hartanah asasnya, disokong pendekatan pengurusan aset dan pelaburan yang berdisiplin oleh PHB.

“Prestasi AHB tahun ini membuktikan komitmen kami untuk terus memberikan pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit. 

"Pada masa sama, kami kekal memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan AHB sebagai instrumen pelaburan pilihan pelabur Bumiputera menerusi pengurusan modal yang berhemat, strategi pelaburan yang dinamik serta pengoptimuman portfolio yang berterusan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan danpenciptaan nilai jangka panjang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM Zulkifli Ishak berkata pengurus dana itu kekal fokus menguruskan AHB secara bertanggungjawab bagi memastikan dana berkenaan terus menjadi pilihan pelaburan yang mudah diakses oleh pelabur Bumiputera.

PHB berkata agihan pendapatan itu akan dibayar dalam bentuk unit AHB yang dikreditkan terus ke dalam akaun AHB pemegang unit selewat-lewatnya pada 13 Okt 2026.

Agihan tersebut akan dilaburkan semula secara automatik, sekali gus membolehkan pemegang unit menambah pegangan unit serta berpotensi menikmati kesan pengkompaunan dalam jangka panjang.

“Pelabur Bumiputera yang ingin melanggan AHB boleh berbuat demikian pada harga tetap RM1 seunit, dengan pelaburan minimum RM100 dan maksimum RM1 juta.

“Langganan boleh dibuat melalui cawangan pengedar yang sah di seluruh negara, iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), AmBank Bhd, AmBank Islamic Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement