Skip to main content

Bisnes

Ketersambungan udara keutamaan kerajaan, kedudukan kewangan AirAsia dipantau - Amir Hamzah

Amir Hamzah berkata kerajaan belum membuat sebarang perjanjian atau komitmen untuk memberikan sokongan pembiayaan kepada AirAsia sama ada dalam bentuk jaminan pinjaman atau suntikan dana awam.
Amir Hamzah berkata kerajaan belum membuat sebarang perjanjian atau komitmen untuk memberikan sokongan pembiayaan kepada AirAsia sama ada dalam bentuk jaminan pinjaman atau suntikan dana awam.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketersambungan udara dalam negara kekal menjadi keutamaan kerajaan manakala kedudukan kewangan AirAsia Group Bhd terus dipantau bagi memastikan ekosistem penerbangan negara tidak terjejas, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan belum membuat sebarang perjanjian atau komitmen untuk memberikan sokongan pembiayaan kepada AirAsia sama ada dalam bentuk jaminan pinjaman atau suntikan dana awam.

“Ketersambungan udara, khususnya ke Sabah dan Sarawak, kekal menjadi keutamaan kerajaan dengan mengambil kira kebergantungan sebahagian besar perkhidmatan penerbangan di kedua-dua negeri itu kepada AirAsia,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Advertisement

Beliau memberi penjelasan mengenai pendirian kerajaan berhubung isu melibatkan AirAsia selepas Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PKR-Balik Pulau) membangkitkan isu kedudukan kewangan AirAsia dan risiko campur tangan kerajaan pada sesi tersebut.

Amir Hamzah berkata kerajaan sedang mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pemain industri dan pakar teknikal bagi memahami isu yang dihadapi serta mengenal pasti pendekatan yang boleh dipertimbangkan.

Advertisement

“Sekiranya kedudukan syarikat itu terus meruncing dan kerajaan perlu melihat pilihan lain pada masa depan, sebarang pendekatan akan mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan kesinambungan penerbangan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata sebarang permohonan sokongan kerajaan oleh syarikat dalam mana-mana sektor akan dipertimbangkan berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, kemampanan fiskal kerajaan serta perlindungan dana awam selaras dengan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.

Amir Hamzah berkata matlamat kerajaan adalah memastikan struktur industri penerbangan negara yang mampan, persaingan yang rasional serta kedudukan kewangan syarikat yang kukuh tanpa kebergantungan kepada syarikat berkaitan atau keperluan campur tangan kerajaan pada masa depan.

Mengenai situasi syarikat penerbangan itu, katanya isu kewangan yang dihadapi AirAsia bukan perkara baharu, sebaliknya bermula sejak pandemik COVID-19 apabila syarikat itu berdepan kekangan kewangan dan pelbagai cabaran susulan penstrukturan semula di bawah status PN17.

Katanya keadaan itu menjadi lebih mencabar susulan krisis Asia Barat yang menyebabkan harga bahan api penerbangan melonjak kepada lebih US$200 setong daripada kira-kira US$90 setong.

“Syarikat penerbangan lain juga merekodkan kerugian dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, AirAsia Group mencatatkan kira-kira 45 peratus daripada 104.5 juta pergerakan penumpang di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd pada 2025, selain hampir 60 peratus daripada pergerakan penumpang domestik.

Bagi 2026, AirAsia membawa 62 peratus dan 70 peratus daripada jumlah penumpang di Sabah dan Sarawak berdasarkan data terkini.

Lapangan terbang yang mencatatkan bahagian penumpang AirAsia tertinggi termasuk Sandakan (80 peratus), Sibu (76 peratus), Bintulu dan Tawau (masing-masing 74 peratus), Kuching (69 peratus), Miri (66 peratus) dan Kota Kinabalu (61 peratus).

Di Semenanjung Malaysia, AirAsia turut mencatatkan bahagian penumpang yang tinggi di Johor (70 peratus), Terengganu (56 peratus), Langkawi (56 peratus), Alor Setar (49 peratus), Kelantan (46 peratus) dan Pulau Pinang (36 peratus).

Di KLIA2, AirAsia Group membawa 88 peratus daripada jumlah penumpang.

Menjawab soalan tambahan mengenai sama ada strategi yang akan diambil kerajaan menyamai pendekatan dalam menangani isu Sapura Energy Bhd, kini dikenali sebagai Vantris Energy Bhd, Amir Hamzah berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah memastikan lembaga pengarah dan pengurusan syarikat lebih kukuh serta menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi membina entiti yang lebih mampan.

Beliau berkata jika kerajaan terpaksa campur tangan dalam isu AirAsia, pendekatan yang sama seperti yang dilaksanakan terhadap Vantris akan digunakan.

“Kita perlu memastikan apa-apa yang kita beri pertolongan, kita mendapat keutamaan berbanding mereka yang telah meminjamkan (wang) kepada AirAsia.

“Kita hendak menjamin dana awam mendapat keutamaan yang sewajarnya kerana kita jadi penyelamat dalam keadaan sedemikian.

“Matlamatnya ialah kita tidak melindungi pemegang saham, apa yang kita hendak ialah melindungi rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya struktur kumpulan AirAsia adalah kompleks kerana AirAsia Group memiliki beberapa syarikat penerbangan yang masing-masing memegang Sijil Pengendali Udara tersendiri di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

Pada masa yang sama, Capital A Bhd merupakan syarikat tersenarai yang berasingan dan menyediakan perkhidmatan penting kepada AirAsia, termasuk katering, penyelenggaraan pesawat dan kargo.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement