Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI berjaya mengekalkan kestabilan politik selama empat tahun walaupun menghadapi tekanan dalaman dan landskap politik yang mencabar sejak 2018.
- Pertumbuhan ekonomi negara dicatatkan dengan KDNK meningkat, pelaburan diluluskan mencecah RM350.4 bilion, dan kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus pada September 2026.
- Penjimatan RM15.5 bilion hasil rasionalisasi subsidi serta penurunan kadar kemiskinan mutlak kepada 5.1 peratus turut diumumkan sebagai pencapaian utama kerajaan.
KUALA LUMPUR: Keupayaan Kerajaan MADANI mengekalkan kestabilan politik sepanjang empat tahun pentadbirannya merupakan satu pencapaian signifikan, khususnya dalam mendepani kerencaman landskap politik negara sejak 2018.
Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof. Madya Dr. Yusri Ibrahim berkata, kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal sebagai Perdana Menteri meskipun berdepan pelbagai tekanan politik dalaman merupakan satu kejayaan besar.
“Kalau hendak mengukur prestasi Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun Kerajaan MADANI ini, bagi saya, kerajaan bertahan dan beliau kekal sebagai Perdana Menteri, itu satu kejayaan yang besar.
“Kalau orang lain, saya rasa tidak akan mampu bertahan dalam keadaan tekanan, dan drama-drama yang berpanjangan yang tidak pernah henti,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Pada Rabu, Perdana Menteri menerusi program Dialog Negara bertemakan ‘Di Sebalik Keputusan’ mengulas pelbagai keputusan dasar, pertimbangan di sebalik pelaksanaannya serta pencapaian sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan itu dibentuk susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 yang menyaksikan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti politik lain.
Antara pencapaian ekonomi negara termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada 2025 dan 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, manakala nilai pelaburan yang diluluskan bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencecah RM350.4 bilion.
Kadar pengangguran turut mencatatkan paras 2.9 peratus pada September 2026, manakala kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 6.2 peratus pada 2022 kepada 5.1 peratus pada 2024.
Menerusi perkongsian di media sosial pada Selasa, Anwar turut mengetengahkan penjimatan berjumlah RM15.5 bilion hasil pelaksanaan beberapa langkah rasionalisasi subsidi, selain peningkatan peruntukan bantuan kepada rakyat.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, kestabilan politik berjaya dikekalkan meskipun terdapat pelbagai desakan daripada luar untuk menggugat kedudukan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan prestasi ekonomi yang memberangsangkan belum tentu diterjemahkan kepada penerimaan dan sokongan pengundi.
“Jadi saya rasa itu yang merupakan satu dilema yang wujud dalam pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini kerana daripada satu sudut, angka-angka ekonomi menunjukkan peningkatan yang baik, tetapi daripada penerimaan pengundi di bawah,” katanya.