Skip to main content

Malaysia

AKPS catat rampasan RM322.74 juta, tumpas 16 kes penyeludupan dadah

KDN berkata keberkesanan penubuhan AKPS dilihat melalui kecekapan pengurusan pergerakan pengembara serta pemeriksaan barangan menerusi integrasi teknologi dan operasi bersepadu di pintu masuk negara. - Gambar fail
KDN berkata keberkesanan penubuhan AKPS dilihat melalui kecekapan pengurusan pergerakan pengembara serta pemeriksaan barangan menerusi integrasi teknologi dan operasi bersepadu di pintu masuk negara. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan rampasan bernilai RM322.74 juta membabitkan 16,357 kes penguatkuasaan sehingga Oktober tahun ini, meningkat lebih empat kali ganda berbanding RM82.10 juta pada 2025.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pencapaian itu turut didorong sumbangan ketara Sektor Biosekuriti (RM72.05 juta) dan Sektor Kastam atau Percukaian (RM50.84 juta), termasuk kejayaan di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) (RM21.37 juta), Pelabuhan Pulau Pinang (RM7.14 juta) dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam (RM3.62 juta).

“Menerusi Operasi Task Force Saringan 100 Peratus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), operasi ini telah memeriksa 4,569 penerbangan melibatkan 21,526 kru penerbangan, 483,119 pemeriksaan badan ke atas penumpang, serta 711,160 bagasi daftar masuk.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan tersebut, 16 barangan larangan telah dikesan dan 16 kes penyeludupan dadah bernilai RM34.89 juta dengan berat keseluruhan 436.66 kilogram berjaya ditumpaskan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen. 

Kementerian itu menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai sejauh mana AKPS memenuhi mandatnya sejak ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jan 2024.

Advertisement

Kementerian itu berkata AKPS kini menerajui seliaan kawalan di 123 pintu masuk aktif merangkumi laluan darat, udara dan laut selepas bermula secara rintis di ICQS Rantau Panjang pada 1 Jan 2025 dan diperluas ke 21 pintu masuk utama pada 1 Feb 2025.

“Kejayaan paling signifikan dari sudut penyelarasan tadbir urus ialah keupayaan AKPS menyatukan fungsi pemeriksaan dan penguatkuasaan daripada enam agensi teras di bawah Satu Rantaian Perintah Tunggal. Pendekatan ini berjaya merungkai budaya kerja secara silo di pintu masuk negara,” menurut KDN.

Enam agensi teras itu ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pelaksanaan Skim Perkhidmatan Kawalan dan Perlindungan Sempadan yang berkuat kuasa pada 1 Julai lepas turut melengkapkan penggabungan enam agensi terbabit menerusi tawaran opsyen pertukaran pelantikan kepada pegawai agensi asal.

“AKPS juga berjaya melaksanakan pengambilan sulung 408 pegawai terdiri daripada 39 penolong penguasa dan 369 pembantu penguasa untuk bertugas di pintu masuk baharu melibatkan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura,” katanya.

KDN berkata keberkesanan penubuhan AKPS dilihat melalui kecekapan pengurusan pergerakan pengembara serta pemeriksaan barangan menerusi integrasi teknologi dan operasi bersepadu di pintu masuk negara.

“Pelaksanaan Sistem Saringan Awal Risiko Pengembara (APSS) dan pengisian Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) membolehkan data maklumat penumpang dianalisis serta disaring secara automatik sebelum pengangkutan berlepas ke Malaysia. 

“Langkah itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti lebih awal pengembara berisiko tinggi atau yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Dalam aspek pemantapan integriti pegawai, tindakan tegas tanpa kompromi diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk melibatkan 27 pegawai dalam kes sindiket counter setting dan flying passport sehingga November 2026, iaitu 19 dibuang kerja dan lapan ditahan kerja susulan pertuduhan di mahkamah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement