AIA Bhd memperkenalkan pelan perubatan A-Plus Health yang mempunyai ciri unik, Health Wallet, bagi memberikan perlindungan perubatan ketika diperlukan serta ganjaran kepada pelanggan untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Bagi pelanggan yang tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tahun dengan A-Plus Health, jumlah tertentu akan dikreditkan ke dalam Health Wallet mereka sehingga 10 kali.

Jumlah terkumpul itu kemudiannya boleh digunakan untuk membayar perbelanjaan perubatan tambahan dan perkhidmatan pencegahan yang tidak dilindungi, seperti pemeriksaan kesihatan dan suntikan vaksin, perbelanjaan untuk anggota tiruan dan alat bantuan pendengaran, masalah kongenital , penjagaan pemulihan kanser, strok dan serangan jantung.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif AIA, Anusha Thavarajah berkata, hasil daripada kajian terkini Indeks Kehidupan Sihat AIA, menunjukkan 57 peratus responden menzahirkan kebimbangan mengenai kos perubatan untuk merawat penyakit kritikal.

"Dengan kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, ramai yang tidak mampu menampung kadar rawatan jangka panjang jika menghidapi penyakit kritikal dan kebimbangan mereka ialah menghadapi 'jurang pembiayaan' di mana simpanan, perlindungan insurans dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak kerajaan mungkin tidak mencukupi," katanya.

Ketua Pegawai Pemasaran AIA, Heng Zee Wang berkata, pelan perubatan itu membawa perubahan kepada industri insurans perubatan dan kesihatan tradisional kerana bukan sahaja membiayai kos hospital semata-mata tetapi memberi ganjaran kepada para pelanggan yang berusaha untuk kekal sihat.

A-Plus Health adalah rider perubatan yang boleh ditambah ke atas pelan premium berkaitan pelaburan AIA, A-LifeLink 2 untuk mereka yang berusia antara 14 hari hingga 70 tahun. Ibu bapa juga boleh mendapatkan A-Plus Health untuk bayi seawal usia kehamilan 14 minggu ke atas.

Di samping menyediakan perlindungan perubatan yang komprehensif sehingga usia 100 tahun, A-Plus Health juga menawarkan had tahunan yang tinggi (jumlah maksimum yang boleh dituntut oleh pelanggan setiap tahun) sehingga RM2 juta, tanpa had seumur hidup.

Pelanggan yang mendapatkan APlusHealth dan mendaftar sebagai anggota AIA Vitality juga boleh menikmati manfaat tambahan di bawah ciri-ciri Health Rewards tanpa perlu membayar premium tambahan.

Maklumat lanjut mengenai A-Plus Health, boleh didapati dengan melayari www.aia.com.my.