Ringkasan AI
- Daerah Petaling dan Hulu Langat di Selangor dikenal pasti memerlukan pembersihan data dan pengaktifan semula Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
- JPNIN Selangor akan melaksanakan pembersihan data serta pembatalan penetapan KRT tidak aktif, dengan Selangor mencatat 174 KRT tidak aktif tertinggi di negara ini.
- Peruntukan tahunan KRT akan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 mulai 1 Januari 2027 bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti komuniti.
KUALA LUMPUR: Daerah Petaling dan Hulu Langat dikenal pasti sebagai kawasan yang memerlukan tindakan pembersihan data dan pengaktifan semula Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Selangor.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata maklumat awal mendapati keadaan itu antaranya berpunca daripada proses pembatalan penetapan kawasan bagi KRT yang tidak lagi aktif belum dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau berkata Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Selangor akan melaksanakan proses pembersihan data serta pembatalan penetapan KRT tidak aktif dalam masa terdekat.
“Dalam masa terdekat, JPNIN Negeri akan melaksanakan proses pembersihan data dan pembatalan penetapan KRT tidak aktif,” katanya dalam maklum balas kepada Astro AWANI.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang, pada Sabtu memaklumkan sejumlah 500 KRT di seluruh negara tidak aktif, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi, iaitu 174.
Rizam berkata punca utama ketidakaktifan KRT di daerah berkenaan masih diteliti, namun faktor perbandaran, pertambahan kawasan kediaman strata dan berkepadatan tinggi berkemungkinan menjadi antara penyumbang.
“Antara faktor yang dikenal pasti ialah perkembangan kawasan bandar, termasuk pertambahan kediaman strata dan berkepadatan tinggi, selain cabaran mendapatkan komitmen penduduk untuk menerajui jawatankuasa.
"Kerajaan Negeri menyokong inisiatif pengaktifan semula KRT tidak aktif yang dilaksanakan JPNIN sejak awal tahun ini dan akan diteruskan secara berperingkat sehingga 2028.
"Bagi daerah yang memerlukan perhatian, Kerajaan Negeri akan menyelaraskan usaha bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti kawasan keutamaan serta bakal pemimpin komuniti yang boleh menerajui semula jawatankuasa KRT," jelasnya.
Beliau berkata isu itu juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri (PADUNEGERI) akan datang.
Dalam pada itu, Rizam berkata setiap KRT kini menerima peruntukan tahunan RM6,000 daripada Kementerian Perpaduan Negara, yang akan dinaikkan kepada RM10,000 setahun mulai 1 Jan 2027.
Peningkatan kira-kira 67 peratus itu dijangka membantu memperkukuh pelaksanaan aktiviti KRT di kawasan masing-masing.
Beliau berkata akan membawa perkara berkenaan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi meneliti bentuk sokongan tambahan, termasuk penganjuran program pemangkin mengikut zon untuk menggalakkan penglibatan KRT dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Saya juga akan membawa perkara ini ke MMKN untuk meneliti bentuk sokongan tambahan, termasuk penganjuran program pemangkin mengikut zon bagi menggalakkan KRT lebih aktif dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya lagi.
KRT ditubuhkan dan diselia oleh Kerajaan Persekutuan menerusi JPNIN di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751), manakala Kerajaan Negeri bekerjasama dengan JPNIN Selangor bagi menyokong peranan pertubuhan itu.