KUALA LUMPUR: AirAsia akan menghentikan laluan Singapura-Miri dan Singapura-Sibu pada Februari 2024 berikutan permintaan penumpang yang rendah dan peningkatan kerugian kewangan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin telah dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan semasa lawatan hormat AirAsia Berhad, yang diketuai oleh pegawai perhubungan kerajaannya Hamdan Mohamad, bersama delegasi dari Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) di pejabat Kompleks Baitul Makmur pada 10 Januari 2024.

Semasa taklimat mengenai prestasi operasi AirAsia Sarawak pada 2023 dan rancangan untuk 2024, Hamdan menekankan jangkaan positif syarikat penerbangan itu untuk muatan penumpang di kebanyakan sektor Sarawak tahun ini, kecuali laluan Singapura-Miri dan Singapura-Sibu.

Sebaliknya, Lee menggesa AirAsia untuk mempertimbang pertambahan penerbangan Kuching-Jakarta bagi perkhidmatan harian memandangkan permintaan penumpang yang kukuh, lapor Dayak Daily.

Sementara itu, AirAsia menawarkan tambang tetap sehala rendah RM298 untuk penerbangan lewat malam ke Sarawak semasa Tahun Baharu Cina akan datang.

Tambang tetap ini terpakai untuk laluan antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, serta antara Johor Bahru dan Kuching, Sibu, atau Miri, dengan tempoh perjalanan yang dijadualkan antara 5 Februari hingga 15 Februari.

Inisiatif tambang tetap rendah syarikat penerbangan itu juga selaras dengan program FLYsiswa kerajaan untuk memberi subsidi RM300 bagi pembelian tiket penerbangan pelajar universiti awam dan skim subsidi tambang asas RM599 membabitkan pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sehala ke Malaysia Timur semasa musim perayaan seperti yang diumumkan tahun lepas.

Bagi mereka yang merancang perjalanan perayaan dan cuti sekolah, Lee menasihatkan pelancong untuk merancang dan menempah awal penerbangan mereka agar mendapat tambang terbaik.

Beliau juga akan bertemu dengan syarikat penerbangan lain untuk meminta penerbangan tambahan semasa musim perayaan dan cuti sekolah akan datang.

Lawatan hormat AirAsia dan MAHB itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Ketua Bahagian Penerbangan Kementerian itu, Zulkarnain Rosli dan penasihat teknikalnya, Sio Yew Hua.

- DagangNews.com